Halaman

Rabu, 10 Oktober 2012

Lori pasir ....

Silap percaturan semasa kayuhan pagi ini. Dari awal aku merancang untuk ke Kuala Ketil dan kemudian balik ke Pinang Tunggal melalui Merbau Pulas dan Padang Serai. Tetapi entah kenapa aku  menukar haluan ke Bukit Selambau apabila sampai di persimpangan Kuala Ketil. Memang sudah agak lama tidak melalui laluan ini. Masih awal untuk singgah sarapan pagi, mungkin aku akan singgah di Bukit Selambau atau kalau masih boleh bertahan akan singgah di Sungai Lalang.
Sebaik memasuki laluan Kuala Ketil - Jeniang, dibelakang aku terdapat deretan lori pasir. Tiada masalah kerana jalan ini agak luas. Walau kadang kala perasaan aku terbakar juga kerana lori ini memotong terlalu hampir dan kerap kali tanpa memperlahankan lori. Aku sedar aku telah silap jalan tetapi tidak mahu berpatah balik untuk rancangan asal.
Setiap dua tiga minit ada sahaja lori yang memotong.  Sekarang jalan semakin mengecil sehinggalah pekan Bukit Selambau. Memang sakit jiwa dibuatnya. Aku berkayuh disebelah tepi yang boleh. Ah ... sabar je lah.
Lega rasa hati bila nampak simpang ke Sungai Lalang dua km selepas pekan Bukit Selambau. Aku mengharapkan lari pasir akan berkurangan kerana kawasan pengorekkan pasir di sepanjang Sungai Muda menghala ke Pekan Jeniang. Betapa silapnya aku. Lori dari arah Kuala Ketil dan dari arah Jeniang memasuki dan menggunakan jalan ini untuk ke Sungai  Petani. Bunyi enjin yang kuat dari lori ketika membuat pendakian bukit kawasan perindusterian berat Bukit Selambau membuatkan hilang keseronokkan berkayuh.
Aku mencari tempat berhenti untuk menenangkan fikiran dan singgah di sebuah gerai makan berhadapan dengan Kilang Asia Wood. Dahulu pada tahun 90 an kilang ini beroperasi di kawasan perindustrian Sungai Petani dan telah dipindahkan ke sini ke rana pencemaran. Masih ada juga kilang kilang kecil yang enggan berpindah hingga kini.
Tiada pelanggan digerai tersebut hanya tuan gerai bersama isterinya. Nampak teruja dan seronok si isteri apabila ada orang singgah digerainya. Terus bertanya dari mana, kemana, seorang sahaja ke (macam selalu dengar frasa ni ....), jauh, panas, peluh, kuat .... dan entah apa lagi. Jenuh juga menjawap sebelum akhirnya aku ditanya minum dan makan apa.  
Apabila minuman aku dihantar, suaminya duduk dihadapan aku untuk makan nasi. Dia berkata jalan sebelum Taman Seri Bayu Sungai Lalang rosak teruk sepanjang hampir 5 kilometer. Memang tidak boleh dilalui oleh basikal seperti aku kerana batu batu batu. Kalau aku ingin juga melalui jalan tersebut kena 'tanggung basikal' disepanjang jalan yang rosak. Dia menyatakan lori lori pasir yang tidak berhenti melalui jalan ini yang menyebabkan kerosakkan. Lori tersebut membawa muatan berlebihan. Mengikutnya lagi pihak berkuasa JPJ tidak dapat berbuat apa apa kerana tonto dan masalah lain.
Aku menjadi serba salah. Ada dua pilihan. Pertama teruskan dan mungkin aku terpaksa menolak atau mengangkat basikal pada kawasan jalan rosak tersebut. Kedua berpatah balik mengikut jalan yang aku datang tadi. Ketika melayani fikiran, si isteri mengesyorkan aku membelok ke laluan Petani Para. Ah ... ada dua tiga kali melalui jalan ini dan terus ke Taman Kelisa. Aku berterima kasih dan meneruskan perjalanan. Simpang jalan ini tidak sampai dua kilometer dari gerai yang aku singgahi. Jalan ini sunyi dan hampir 10 km kurang dari 10 biji kenderaan melaluinya.

Statistik :
   Mula ............... 07.35pagi
   Tamat ............. 11.10 pagi
   Jarak ............... 75 km
   Cuaca .............. Redup
   Laluan ............. Kuala Ketil - Bukit Selambau - Taman Kelisa
   Odometer 2012 : 03741    
          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan