Halaman

Isnin, 22 Oktober 2012

Satun ... (Setul Mambang Segera),Thailand

Rancangan kayuhan hari ini dibuat petang kelmarin. Walaupun sudah agak lama aku bercadang untuk melakukan kayuhan ke Satun tetapi tercari cari masa yang sesuai dan menunggu-nunggu jika ada kawan yang ingin ikut serta. Ramai yang aku tanya berminat untuk ikut serta tetapi tidak seorang pun memberikan kata putus. Jadi macam biasa le ... kayuh seorang saje.
Rancangan banyak kali tertangguh kerana aku tidak pasti keadaan jalan ke sana sehingga berjumpa dengan En. Shokri Hashim yang sering kesana samada dengan geng bikers atau dengan familinya. Menurutnya jalan amat baik sekali dan lansung tiada bukit. Aku bayangkan jalan dipenuhi dengan hutan tebal dikiri dan kana jalan. Betapa silapnya aku.
Bertolak dari Sungai Petani sebaik selesai solat subuh dan sampai ke Wang Kelian pada jam 8.30 pagi. Langit kelihatan diselubungi awan gelap. Semasa melalui Changlun dan Chuping hujan rintik rintik. Walau begitu aku teruskan perjalanan dan bercadang jika hujan turun, aku tetap akan ke Satun tetapi dengan kereta.
Seorang pegawai kastam di komplek pintu masuk CIQ menegur aku dan agak terkejut bila aku nyatakan aku hendak berkayuh ke Satun. Proses memasuki Thailand sangat senang dan mudah dan kedua dua pintu masuk Malaysia-Thailand berhampiran antara satu sama lain. Tidak seperti di lain lain tempat seperti Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan Betong. Aku isi sendiri embarkation card. Kalau di Bukit Kayu Hitam atau di Betong ada meja untuk mengisi borang dan dikenakan bayaran RM2.00.
Sebaik memasuki Thailand, papan tanda menunjukkan Satun 40km. Aku melepasi kedua-dua imigresen pada jam 9.20 pagi dan  menjangkakan akan sampai ke Pekan Satun sebelum jam 11.00 pagi. Jalan sedikit berbukit sejauh hampir 2 km. Setelah melepasi banjaran gunung menjadi sempadan Malaysia Thailand iaitu Sankalakhiri, aku terpegun dengan keadaan jalan Route 4183. Luas, licin (smooth), teguh, bersih dan tiada sebiji lubang atau rekahan dipermukaan jalan. Kalau boleh aku buat pesamaan macam pipi bayi ... sori ... macam pipi anak dara sunti. Memang teruja berkayuh disini. Boleh mencapai kelajuan lebih dari kelajuan maksima pada kayuhan di jalan jalan raya di Malaysia.
Malam tadi sebelum tidur aku membayangkan jalan yang sempit dengan kereta yang banyak dan dipandu laju, apa akan terjadi jika aku terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sebaliknya dengan jalan yang begitu sempurna, luas dan pemandu amat berhemah. Apabila memotong mereka memberikan ruang yang begitu luas antara basikal dengan kenderaan mereka. Motorsikal pun begitu juga.
Lagi kejutan apabila aku memasuki laluan Route 406 dari Hat Yai ke Satun. Laluan ini boleh dikira sebagai 'highway'. Ruang untuk motorsikal dan basikal begitu luas aku lansung tidak bimbang dengan kenderaan yang dipandu laju dari belakang. Permukaan begitu baik sekali. Tidak keterlaluan jika dikatan amat jauh lebih baik dari apa yang disediakan oleh PLUS. Satu lagi keistimewaan tiada tol yang dikenakan. Basikal pula dibenarkan melalui lebuh raya ini.
Berhenti disuatu tempat selepas pekan Chalung untuk melihat pertanding suara burung. Dipenuhi oleh orang orang yang mempunyai perwatakan dan rupa seperti orang kita. Walau tidak banyak burung burung yang dipertandingkan tetapi nampak agak meriah dengan khemah yang didirikan dan ramai penonton yang datang. Sekali lagi kagum melihat reka bentuk sangkar burung yang digantung menempatkan burung kesayangan pemiliknya.
Aku memasuki Pekan Satun 15 minit sebelum jam 11.00 pagi. Bermakna aku mengambil masa selama 1 jam 30 minit untuk berkayuh sejauh 40 km. Aku disambut dengan tarian dan mercun. Semua kenderaan dari kedua dua hala berhenti atau diperlahankan untuk memberi laluan basikal aku. Melawak saja ... sebenarnya aku bernasib baik kerana kaum Budha, lebih lebih lagi kaum cina menyambut hari terakhir perayaan Dewi Sungai (kalau tidak silap) atau Khatu yang dimulakan dua minggu lalu. Sepanjang tempoh tersebut penganutnya mengamalkan tidak memakan sebarang daging termasuk ikan. Mereka hanya memakan sayuran (vegeterian) untuk memperolehi kesihatan yang baik dan ketenangan hati.
Memang sudah lama tidak melihat perayaan seperti itu. Terdapat perarakan di seluruh Pekan. Pelbagai jenis ragam yang dapat disaksikan termasuk perarakan kereta berhias membawa wanita berpakaian seperti dewi yang diraikan, tarian naga, singa, yang membayar niat dengan mencucuk pipi menggunakan besi dan sebagainya. Aku berada di dewan tempat perakan berkumpul dan tersenyum sendirian bila melihat nama bangunan tersebut iaitu 'Pusat Keadilan', macam selalu dengar sahaja. Semua penganut yang mengambil bahagian berpakaian putih tanpa berkasut.


Setelah puas melihat perayaan tersebut aku berkayuh perlahan lahan sekiling pekan. Banyak bangunan di pekan ini terdiri dari bangunan lama dan kebanyakkan kedai dipunyai oleh orang cina. Beberapa kedai yang dipunyai oleh orang melayu yang kebanyakkan menjual pakaian dan kedai makan. Hanya terdapat sebuah pasaraya dipekan ini iaitu 'Big C' yang terletak di laluan utama. Terdapat sebuah hotel lima tingkat dan lagi satu yang masih dalam pembinaan tidak jauh dari pasar besar. Pasar basah boleh dijumpai dengan mengikut deria bau. Dari jarak 100 meter sudah mencium bau ikan dan sampah sarap.
Aku meneruskan kayuhan kearah pantai untuk melihat jeti yang membolehkan kita mengambil jalan laut ke Kuala Perlis atau Langkawi. Terminal feri terletak di kawasan hutan bakau yang dinamakan Tam Malang. Tiada hadiah untuk meneka asal usul nama tersebut. Jaraknya hampir 7 km dari pekan Satun. Sekumpulan Mat Saleh sedang menunggu kenderaan untuk membawa mereka ke Bangkok melalui penerbangan dari Hat Yai. Terdengar perbualan, mereka akan menghadiri pesta pantai 'full moon' di Pataya. Feri ke Langkawi akan berlepas pada jam 12.30 tengah hari tetapi tiada orang naik bot lagi (jam aku menunjukkan 12.30 tengah hari tetapi feri masih ada di jeti .... terlupa waktu disini lewat satu jam)


Berpatah balik ke Satun untuk makan tengah hari.

sila lihat Bahagian 2 ..........

Statistik :
    Mula ............... 9.20 pagi dari Wang Kelian
    Tamat ............. 5.00 pagi
    Jarak ............... 113 km
    Cuaca .............. Redup/Hujan
    Laluan ............. Wang Kelian - Cha Lung - Satun - Tam Malang
   Odometer 2012 : 04022   
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan