Halaman

Selasa, 23 Oktober 2012

Satun ........ bahagian 2

.... sambungan kayuhan ke Satun ............

Perayaan Khatu masih berterusan dan belum selesai apabila aku memasuki semula pekan Satun pada jam 1.00 petang. Kelihatan penganut yang mengambil bahagian memasuki kedai perniagaan untuk memberi restu kepada peniaga dengan dibayar sedikit sumbangan. Pemilik kedai meletakkan meja diluar kedai sebagai tanda mereka memerlukan khidmat.
Aku berhenti disebuah restoren Melayu bersebelahan Masjid Besar (Central Mosque) atau Masjid Mambang. Masjid ini agak baru dan moden, tetapi tidak ramai jemaah yang datang solat Zohor sebentar tadi. Aku melihat tiga masjid besar di pekan ini. Disepanjang perjalan tadi memang terlihat banyak masjid, ada kalanya jarak tidak sampai 1 km antara nya.
Bernasib baik kerana salah seorang pekerja restoren boleh berbahasa Melayu. Jika tidak mungkina akan kelaparan atau minta dengan tunjuk tunjuk. 
Aku memesan nasi goreng dan sup tulang. Sedap tetapi tersangat pedas dan masam. Nasi goreng memang cukup ramuan termasuk udang, ayam, lada, sayur dan hirisan timun. Timun dan kacang panjang cecah sambal percuma. Air ... aku minum air kosong yang disediakan. Semuanya 100 (neung roy) Baht. Beberapa jenis bubur juga disediakan tetapi semuanya tidak perkenan dengan selera aku.
Ketika aku menjamu selera, ada orang lelaki membelek basikal klasik yang aku letakkan diluar kedai tetapi tidak kepas dari pandangan. Ah...  habis lah aku, itu yang terlintas dikepala. Agaknya basikal jenis ini memang kurang atau tiada kelihatan disini. Dia adalah orang kedua membuat demikian. Sebentar tadi semasa aku menyaksikan perayaan di Pusat Keadilan, perkara sama berlaku. Siap tanya aku dalam bahasa Thai, jenuh aku cuba terangkan aku tidak boleh berbahasa Thai. "mai dai puut pa sa thai krap ...."
Berkayuh perlahan keliling pekan selepas makan dan secara tidak sengaja terjumpa 'Satun National Museum'. Sebaik aku meletakkan basikal aku diperhatikan oleh seseorang dari verenda bangunan. Tidak tahu samada dia pengawal bangunan tersebut atau kakitangan museum. Dia memakai pakaian preman sahaja.  Sebaik aku hendak melangkah menaiki tangga orang yang memerhatikan aku datang dan berkata sesuatu dalam bahasa Thai. Sepatah haram pun aku tidak faham. Aku cuma menganggok bila melihat pintu utama bangunan dimangga dan dibahagian bawah ada tertulis dalam bahasa antarabangsa, museum hanya dibuka dari hari Rabu hingga Ahad sahaja. Hari ini tutup.
Didalam peta yang terdapat di tourist information aku melihat Kuden Mansion dan tercari cari dimana. Rupanya ia adalah bangunan yang sama yang dijadikan Museum Satun. Bangunan ini asalnya ialah 'Istana Tengku Kudin' Sultan Kedah. Patutlah bentuk bangunan ini macam selalu tengok saja. Banyak bangunan serupa rekabentuk di Alor Setar.


Berehat agak lama dan aku meneruskan kayuhan Route 406 kearah Hat Yai. Dalam hati, aku ingatkan simpang untuk ke sempadan 22 km dari Pekan Satun. Bukan untuk pulang tetapi teringin untuk pergi ke Pak Bara tetapi tidak tahu dimana simpang dan berapakah jauhnya dari Satun.
Di pekan kecil Chalung (mengingatkan aku kepada pekan Changlun di Kedah kerana nama yang hampir sama) aku ternampak papan tanda simpang ke Pakbara. Malangnya tiada jarak dinyatakan. Aku memasuki laluan Route 416 ke La-ngu (laut ?) dan Tha-Phea tetapi berpatah balik setelah hampir 10 km. Langit semakin gelap dan aku risau kalau hujan akan turun. Tidak membawa pakaian selain yang dipakai di badan. Pak Bara adalah pusat peranginan ditepi laut Andaman terletak hampir 20 km lagi.
Singgah di Pekan Chalung untuk menghilangkan haus dan duduk di kerusi yang disediakan sambil memerhatikan aktiviti di pekan ini. Pekannya kecil tetapi agak lengkap. Apabila jam hampir 4.00 petang aku meneruskan kayuhan pulang. Aku sampai di sempadan sebelum jam 5.00 petang dan menukar pakaian untuk memandu pulang.
Rasanya aku akan datang membuat kayuhan lagi ke sini. Pagi tadi aku menghantar SMS kepada seorang rakan. Dia amat berhajat untuk berkayuh kesana dan perlukan teman. Mungkin dalam masa terdekat selepas hari raya korban.
Sampai di Sungai Petani 8.00 malam. Tekejut isteri aku kerana dia ingatkan aku akan bermalam di Satun.

Statistik :
    Mula ............... 9.20 pagi Wang Kelian
    Tamat ............. 5.00 petang
    Jarak ............... 113 km
    Cuaca .............. Redup/Hujan
    Laluan ............. Wang Kelian - Cha Lung - Satun - Tam Malang
   Odometer 2012 : 04022   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan