Halaman

Khamis, 16 Mei 2013

Alasan tidak ikut kayuhan ke Hatyai .....

Semasa kayuhan santai petang tadi aku sempat singgah digerai goreng pisang seorang kenalan. Kebetulan seorang kawan lama John juga berada disana. Aku berkayuh petang tadi ke bank di Pekan Baru Sungai Petani melakukan transaksi pemindahan wang. Aku menghulurkan sedikit bantuan untuk anak saudara yang berada di Seremban Negeri Sembilan yang akan memasuki Kolej Matrikulasi minggu hadapan. Sumbangan tersebut sebagai hadiah kerana dapat melanjutkan pengajian. Aku mengharapkan dia akan menggunakan wang tersebut dengan bijak untuk menampung mana yang kurang semasa dikolej matrikulasi.
Gerai goreng pisang tersebut terletak di Taman Desa Aman Sungai Petani, iaitu di jalan pintas ke utara Sungai Petani kepada pemandu yang tidak mahu bersesak di laluan utama di tengah bandar. Laluan ini banyak digunakan oleh pemandu yang ingin ke Sungai Layar dan Semeling dan seterusnya ke Yan. Dengan jumlah kenderaan yang lalu lalang disini terutama pada waktu petang selepas waktu pejabat, memang lokasi sesuai untuk perniagaan seperti itu.
Dua hari lalu aku juga singgah digerai ini. Macam ada tempat pertemuan baru kepada cyclist disekitar kawasan ini untuk berjumpa. Kalau dahulu cyclist menjadikan kedai basikal di Taman Intan untuk destinasi berkumpul diwaktu lapang, sejak perniagaan goreng pisang ini dibuka ia menjadi tempat baru untuk berhenti dan bertukar tukar cerita tentang aktiviti berbasikal.
Ada seorang hamba Allah yang aku kira kenalan baik Ibrahim bersembang untuk ke Seremban sebelah malamnya nanti. Dia kesana untuk membeli frame basikal yang hendak dijual sebagai second hand atau used. Aku ingatkan murah dan aku pun recommend frame yang hendak dijual oleh kedai basikal di Yan. Terkejut bila diberitahu harga frame yang akan dibeli sekitar RM3k. Terus diam.
Seperti yang aku kata, dua hari lalu singgah disini diberitahu tentang program kayuhan ke Hatyai Thailand pada bulan Jun nanti. Kayuhan akan bermula dari Empangan Timah Taso Perlis melalui Wang Klian dan akan ke Hatyai melalui lebuhraya Satun - Hatyai. Jarak kayuhan hampir 140 km. Peserta akan  bermalan di Hatyai dan akan pulang melalui Sadao dan Padang Besar pada keesokkan harinya. Tarikh sebenar kayuhan masih belum ditetapkan lagi kerana menunggu pendaftaran yang mencukupi. Pendaftaran dijadualkan tutup pada hujung minggu ini. Ini untuk membolehkan tempahan awal untuk baju dan lain  lain goodies dibuat.
John dan beberapa kawannya telah mendaftar untuk menyertai kayuhan tersebut. Pelik juga aku fikirkan tentang John, bulan lepas dia memberitahu akan mengikuti kayuhan ke Songhkla dan Nakhon selama tiga hari dua malam, lebih 300km . Tetapi last minit dia batalkan manakala tiga rakannya meneruskan rancangan mereka. Mengikut SK Juan mungkin mem dia tidak mengizinkan dia mengikuti kayuhan tersebut. Ini dia buat pulak, mendaftar dan harapkan dia akan dapat ikut serta. Katanya satu malam OK la.
Kini sasaran Ibrahim untuk mengajak aku turut serta. Dia tahu aku boleh atau lebih tepat mampu menyertai kayuhan ini. Kami pernah berkayuh hampir 160 km sehari iaitu ke Mahang dan Selama. Aku memberi belbagai alasan kenapa tidak berminat seperti tidak dapat membuat pendakian di Bukit Wang Klian, tidak upaya menyaingi pengayuh lain dan beberapa alasan lain.
Alasan sebenar kenapa aku tidak mahu ikut serta aku terangkan kepada Ibrahim semasa kenduri kesyukuran makan malam di masjid Taman Intan sebentar tadi. Kenduri diadakan selepas bacaan Yasin dan Tahlil yang di buat oleh seorang jiran di Lorong B/6 tidak jauh dari rumah aku.
Aku katakan yang rasanya tiada sebarang masalah untuk aku berkayuh menyertai program tersebut. Aku yakin dapat menghabiskan kayuhan jarak tersebut dan mungkin dapat menghabiskan kayuhan lebih awal dari sesetengah rider baru. Aku juga yakin dapat membuat pendakian di Bukit Wang Klian walaupun dengan perlahan. Apa sebenarnya yang membuatkan aku tidak berminat ialah keadaan basikal aku.
Pastinya kebanyakkan peserta kalau tidak semua akan menggunakan basikal rb yang terbaharu dan tercanggih mampu. Mencecah harga belasan ribu atau paling kurang sebelah tangan. Semua dengan jenama yang terkini. Itu belum sebut tentang pakaian dan kelengkapan lain. Bagi aku tidak apa itu semua. selagi mampu pakailah.
Yang paling aku tidak suka ialah memandang rendah kepada harta orang lain. pastinya jika aku membawa rb vintage atau klassik aku tidak akan terkalih dari pandangan mata dan hati kawan kawan yang mempunyai basikal yang paling terkini dan terhebat. Bukan keupayaan atau kemampuan menjadi ukuran pada program seperti ini, tetapi apa yang ada..... atau aku terlalu perasaan. Tidak mungkin terperasan lebih kerana pernah berlaku ketika aku sedang berkayuh sendirian apabila dihampiri oleh seorang rider yang pernah aku jumpa. Dia beberapa kali memandang kearah basikal buruk aku secara sinis sebelum aku biarkan dia pergi dahulu meninggalkan aku.
Baik aku tidak ikut serta dari diperkecil atau dihina sedemikian rupa. Rasanya aku juga mampu memiliki basikal seperti mereka tetapi untuk apa? Harap sahabat yang beriya iya mengajak aku ikut serta faham dilema yang aku hadapai. Kayuh sorang beb .......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan