Halaman

Ahad, 19 Mei 2013

Kayuhan batas bendang

Badan terasa agak ringan pagi ini. Agaknya semua letih badan sudah hilang dan aku terus bersiap untuk membuat kayuhan. Merancang untuk membuat pendakian bukit bukit kecil setelah beberapa kali berterusan berkayuh road bike. Kena kuatkan semula otot otot betis dan peha dengan sedikit pendakian.
Kedua dua tayar depan dan belakang mountain bikes kempes. Semua angin habis keluar. Itu sudah cukup untuk memberitahu mtb tersebut sudah lama tidak dikayuh. Rasanya aku perlu membuat senggaraan pada tayar dan tiub kedua duanya. Buka dan periksa kalau ada paku, besi atau kaca melekat yang boleh membuatkan tayar bocor ketika kayuhan. kedua dua tayar pun sudah lam hayatnya. Kalau tidak silap aku pasang pada bulan Mei 2010 dan lebih 4000 km pada odometer. Lebih tiga tahun ! Berbaloi sungguh gunakan tayar Maxxis 26 x 1.25 ini.
Seperti yang aku nyatakan diatas tidak berhasrat untuk pergi jauh dengan mtb hari ini. Aku berkayuh kearah Merbok untuk membuat pendakian pertama di belakang UiTM Merbok. Sebelum memasuki simpang ke Tupah, dua orang rider berada dibelakang. Mereka juga membelok ke kanan tetapi tidak memotong. Mereka berkayuh lebih kurang 30 meter dibelakang. Rasanya mereka boleh berbuat demikian bila bila masa memandang mereka jauh lebih muda. Tentu banyak stamina dan tenaga.
Aku hampir membatalkan hasrat untuk ke Tupah apabila pada pendakian di jalan Segantang Garam tadi mendapati derailer depan tidak berfungsi. Aku ingin menukar piring depan kepada yang untuk memudahkan pendakian tetapi tiada apa berlaku. Rantai enggan turun kebawah walau beberapa kali aku menukar speed. Akhirnya aku terpaksa meneruskan pendakian dengan hanya menukar gear belakang sahaja. 
Sangsi samada aku boleh membuat kayuhan pendakian Tupah yang lebih tinggi dan jarak yang agak jauh. Pengalaman lalu mengatakan aku boleh melakukan tanpa perlu menukar gear. Ini menjadi cabaran setelah sekian lama tidak melakukan sedemikian. Apa yang menjadi persoalan samada aku mampu bertahan berada dihadapan kedua dua rider masih mengekori dibelakang.
Ego aku tercabar apabila aku dipotong secara tidak disedari. Aku sedang menikmati suasana disepanjang jalan dengan sungai yang mengalir lesu kerana kekurangan air dari gunung Jerai, hutan rimba redup dan keriangan monyet bergayut di pokok. Rider tersebut menegur "selalu ke kesini?". Ayat macam bunyi pick-up line yang sering kita baca dalam novel romantika. Mungkin sesuai untuk memulakan dialog kerana tidak mengenali antara satu sama lain.
Tidak upaya untuk menyaingi rider tersebut dan aku teruskan pendakian mengikut keupayaan sendiri. Di hujung jalan berhampiran pintu masuk utama Loji Air Tupah, terdapat empat orang lain telah berada disana. Aku singgah untuk bersalaman dan cuba sedaya boleh untuk berkenalan dan berbual. Nyata hampa dan aku beredar tidak samapr dua minit bersama mereka. Mereka dari group sama dari Bandar Puteri Jaya. Biasa lah apabila ramai mereka akan berbual antara mereka sahaja.
Oleh kerana keadaan basikal yang tidak berfungsi sepenuhnya, aku batalkan rancangan untuk pendakian Muzium Arkeologi. Pendakian tersebut memerlukan gear rendah, jika tidak kena 'tonton' basikal untuk keatas. Singgah di gerai dipersimpangan kampung Bendang Dalam untuk sarapa roti telur dan kopi O. Semasa membuat pembayaran, pekerja 'bujang' (istilah yang digunakan oleh rakan rakan untuk pekerja perempuan yang belum berkahwin) sempat berbual pendek. Hah .... hilang letih badan. Terus ingin berkayuh lagi. Selalunya aku akan terus berkayuh pulang apabila selesai sarapan.
Meneruskan kayuhan di kawasan bendang di Kampung Bendang Dalam dan Segantang Garam. Cuaca agak panas tetapi aku seronok menikmati pemandangan sawah padi, hutan bakau dan sungai Merbok. Ditengah panas disuatu tempat ditengah bendang, kayuhan tergendala kerana handphone berbunyi. Seorang kawan mohon jasa baik untuk membuat tempahan tiket kapal terbang ke Kucing kerana anaknya mendapat memasuki kolej Metrikulasi disana. Dia tidak berapa cekap dalam hal ini dan tidak mempunyai kad kredit untuk bayaran on-line. 

Statistik : 
    Mula ............... 7.50 pagi
    Tamat ............  11.00 pagi
    Jarak ............... 63 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Tupah - Bujang - Segantang Garam 
   Odometer 2013 : 01986
          


Tiada ulasan:

Catat Ulasan