Halaman

Selasa, 21 Mei 2013

Puas dan seronok berkayuh

Ah ... terasa puas dan seronok. Keperluan kedua dua mental dan fizikal telah dipenuhi. Bukan setakat memenuhi kehendak untuk beriyadah dengan pergerakkan anggota tetapi minda dapat kepuasan yang jarang diperolehi ketika aktiviti senaman lain. Aku sendiri kurang faham apa yang hendak di tuliskan dan dicatatkan dalam blog ini.
Tidak pergi jauh hari ini, hanya setakat jalan lencongan timur ulang alik. Cuaca nyaman walau matahari menyinar dengan terang. Kelmarin hujan pagi dan walau aku tidak melakukan kayuhan tetapi agak terkejut apabila SK Juan tiba tiba muncul dihadapan pintu pagar rumah dalam keadaan basah kuyup. Katanya hanya dapat lebih kurang 30km apabila hujan turun.
Dipersimpangan Lencongan Timur/Taman Astana aku melihat seorang rider membelok memasuki lencongan. Sepatutnya aku berhenti kerana lampu merah dan memberi laluan kepada kenderaan dari sebelah kanan, tetapi ruang yang aku ambil sedikit sangat dan tidak mungkin menganggu laluan aku meneruskan kayuhan. Berkayuh rapat dengan rider yang baru membelok. Selalu nampak rider ini berkayuh seorangan seperti aku dan dia menggunakan mountain bike dengan pakaian berwarna putih. Umur lebih kurang aku juga dan mungkin juga telah bersara kerana selalu nampak dia pada hari biasa.
Aku rasa tidak senang dan tidak tenteram jika ada rider berkayuh dibelakang. Jadi tidak keruan dengan hati berdengup kencang dan berdebar. Ini kerana aku terpaksa maintain kelajuan kayuhan. Banyak tenaga diperlukan dan mungkin aku tidak dapat bertahan lama. Selalunya aku akan membiarkan dipotong dan lebih selesa berkayuh dibelakang. Jika tidak larat aku akan berkayuh pada kudrat aku.
Terkejut sedikit apabila dia berada disisi sebelah kanan aku, rasanya macam dia hendak memotong. Ketika itu jalan mendaki sedikit dan rb aku tidak dapat menyaingi mtbnya. Tidak pula aku perlahan kayuhan untuk memberi dia peluang memotong. Sebaik jalan mula mendatar aku terus berkayuh seperti biasa, tidak mahu menoleh kebelakang untuk melihat dimana rider tadi berada. Walau begitu aku mencuri pandang ke kiri jika nampak bayang bayang nya. Awal pagi dengan sinaran matahari memberikan bayang bayang yang panjang dan jelas. Lega. Tidak ada disebelah kiri. Aku terus berkayuh sehingga hampir dipersimpangan Kuala Ketil dan kali ini aku menoleh kebelakang. Tidak kelihatan lansung rider tadi. Agaknya terlalu jauh ketinggalan dibelakang. Lega dan puas hati. Dapat mempertahankan ego.
Aku teruskan kayuhan. Disepanjang jalan aku memikirkan berapa jauh aku boleh berada dihadapan.  Adakah dia akan dapat mengejar dan memotong aku. Aku mendapat satu idea, apabila sampai ke penghujung lencongan dimana aku akan membuat U-turn. Aku akan melalui jalan yang sama tetapi disebelah kanan. Aku membuat nota bacaan odometer apabila membuat pusingan. Jarak dimana aku berselisih dengan rider tadi didharabkan dua akan menentukan berapa jauh dia dibelakang.
Setiap beberapa saat akan akan memandang kekanan jika berselisih dengannya. Dua km,  tiga km dan empat km. Dia tidak kelihatan. Aku give up. Ada dua kemungkinan, pertama samada dia telah berlalu tanpa aku sedari atau dia tidak mengikut laluan ini. Mungkin dia membelok kekiri ke bandar Sungai Petani di persimpangan Kuala Ketil atau dipersimpangan Taman Ria Jaya atau di persimpangan Cinta Sayang.
Tidak mengapalah. Sekurangnya aku telah menyempurnakan hajat dan pulang dengan perasaan yang sungguh berpuas hati dan seronok.

Statistik : 
    Mula ............... 8.10 pagi
    Tamat ............  9.45 pagi
    Jarak ............... 42 km
    Cuaca .............. Panas tapi nyaman
    Laluan ............. Lencongan timur 
   Odometer 2013 : 02028
          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan