Halaman

Khamis, 23 Jun 2011

.... alah bisa

Sudah satu minggu lebih aku tidak memanjat bukit Taman Semarak dan tidak keterlaluan kalau aku rasa agak lemah sedikit semasa memulakan panjatan. Pagi ini agak ramai orang tetapi kebanyakkan mereka datang berkumpulan. Seronok melihat mereka berbual dan bergurau senda sambil beriyadah.
Boleh dikatakan 80% pendaki membelok kekanan pada point 'Y' dan 18% membelok kekiri. Laluan kekanan lebih pendek untuk sampai ke puncak, manakala laluan kiri mengambil masa lebih dua kali ganda untuk sampai. Dari puncak, pendaki boleh meneruskan atau berpatah mengikuti jalan sama.
Selebihnya pula iaitu 2% (anggaran aku), termasuklah aku mengambil pendakian menegak melalui lalaun dibawah talian kabel TNB. Laluan ini masih belum popular dikalangan pendaki kerana ia agak sukar. Ia memerlukan banyak tenaga dan kekuatan mental dan fizikal.
Semasa memulakan pendakian aku berasa tidak yakin boleh memanjat melalui jalan tersebut, tetapi apabila sampai ke permulaan aku terus memanjat tanpa memikirkan sangat tentang boleh atau tidak.
Pendakian hari ini lebih mudah, cepat dan bertenaga dari yang aku jangka. Setelah melalui jalan ini beberapa kali ia menjadi biasa, seperti kata peribahasa Melayu ...... Alah (kalah) Bisa Tegal Biasa, rasa seronok dan teruja apabila sampai ke puncak dalam masa yang singkat. Pendaki lain yang melalui jalan biasa (kiri atau kanan) mungkin belum dapat menghabiskan separuh pendakian manakala aku sudah memulakan jalan turun.
Aku membuat keputusan bahawa ini adalah jalan tetap yang akan aku lalui setiap kali aku mendaki bukit ini melainkan jika laluan tersebut licin disebabkan hujan. Trek jalan ini pun kini tidak lagi semak kerana disenggara oleh TNB. Pokok besar ditebas dan pokok kecil di mesin.
Menurut Cikgu Ong dia juga mula menggunakan laluan ini beberapa minggu yang lalu. Bahkan dia membuat dua kali panjatan. Apabila sampai diatas dia akan turun melalui jalan disebelah kanan dan bila sampai ke tempat permulaan, dia akan memanjatnya untuk kali kedua. Menurutnya ia menguatkan otot-otot pehanya.
Pada musim buah-buahan sekarang, terdapat bau durian disepanjang jalan. Ada banyak dusun durian diatas bukit dan kadang kala kalau bernasib baik tuan punya dusun akan menjual durian serta hasil tanaman lain kepada pendaki dengan harga yang agak murah. Ya lah kerja mereka senang sedikit, tidak perlu membawa turun kebawah untuk dijual.
Ramai juga pendaki membawa turun dua tiga biji buah asam gelugor yang dikutip dibawah pokok yang banyak tumbuh diatas bukit. Buat asam untuk masak. Tetapi kena dihiris dan dijemur kering dahulu. Di Kedah, asam ini banyak digunakan untuk membuat laksa. Selain durian dan asam gelugor pokok lain yang banyak ditanam ialah petai dan cempedak.
Tengah hari tadi jiran hadapan rumah aku, CK Lee menghulurkan sebiji durian yang agak besar dari pokok yang ditanam di kawasan rumahnya. Tidak tahu jenis apa tetapi isinya memang enak dan lembut. Kena dua ulas besar sudah cukup untuk menghilangkan keinginan memakan durian. Fuyo ... manis, lemak dan gebu. Sebelum itu Mr. Ho Thean Lyle pula menghantarkan buah rambutan. Sebelum senja tadi jiran sebelah rumah pula menghulurkan dua biji durian yang dibeli dari Baling. Murah rezeki keluarga hari ini. Akhirnya selesai sembahyang Maghrib dan Isyak di Masjid, ada pula orang kenduri dan membekalkan sebungkus nasi untuk dibawa pulang.
Nun ... jauh dibelakang ialah Bukit Bendera, Pulau Pinang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan