Halaman

Sabtu, 18 Jun 2011

Kayuhan langit mendung .....

Sesuatu yang boleh membunuh semangat untuk berkayuh ialah keadaan cuaca. Pagi tadi langit diselubungi oleh awan hitam tetapi aku sudah bersiap sedia untuk berkayuh. Cadangan asal adalah untuk pergi ke rekreasi Titi Hayun, Yan. Sebelum memulakan kayuhan aku membuat pemeriksaan rutin basikal dan mendapati keadaan gear belakang tidak berapa bagus. Terpaksa batalkan hasrat untuk ke Yan, takut tidak boleh membuat pendakian bukit Tanjung Jaga.
Ubah laluan dan bercadang untuk ke Tanjung Dawai. Tiada bukit yang memerlukan gear rendah dan aku boleh mengambil jalan pulang melalui jalan Sungai Pial - Sungai Derhaka dan Batu Hampar. Tentu pemandangan indah sawah bendang berlatar belakangkan banjaran Gunung Jerai.
Diatas jambatan Sungai Merbok menghala ke Pekan Semeling pada jam 07.50 pagi, aku tidak dapat menahan keinginan untuk merakamkan suasana dan pemandangan dengan camera compact Sony Cyber-shot. Langit diselubungi awan hitam dan matahari berwarna kekuningan. Aku sedar bahawa adalah berbahaya berhenti diatas jambatan tersebut terutama pada waktu pagi dengan kenderaan yang agak sibuk.
Sejak dua tiga kebelakangan ini keadaan cuaca memangnya tidak menentu. Beberapa phenomena berlaku yang menyebabkan keadaan menjadi sedemikian. Aku sudah lupa bila kali terakhir aku melihat bintang bintang memenuhi langit malam. Bulan pula bewarna kemerahan dan walaupun purnama penuh, cahayanya begitu pudar. Disebelah siang  pula cahaya matahari tidak dapat menembusi secara keseluruhan walaupun suhu amat panas.
Dua hari lepas berlaku gerhana bulan. Gerhana ini  berlaku apabila bulan memasuki bayang bayang bumi yang disuluhi oleh matahari. Di Malaysia gerhana ini dapat dilihat pada pagi Hari Khamis mulai jam 2.00 pagi hingga 5.00 pagi. Tidak ramai yang mengambil peluang untuk melihat phenomena tersebut. Aku sendiri tidak teruja untuk melihatnya kerana telah beberapa kali berbuat demikian. Kali pertama semasa disekolah rendah melihat gerhana matahari menggunakan air didalam bekas.
Keadaan cuaca yang sentiasa mendung dan diselubungi awan juga disebabkan oleh debu letupan gunung berapi (volcano) di Chile, Amerika Selatan pada 08 Jun 2011. Debu dari letupan tersebut menyelubungi langit disebelah hemisfera selatan dan menjejaskan banyak penerbangan. Negara yang paling teruk terjejas adalah di New Zealand dan Australia selain dari negara negara yang berjiran dengan Chile.
Di hemisfera utara pula, keadaan belum lagi pulih sepenuhnya dengan letupan gunung berapi di Iceland pada 15 April 2011. Debu dari gunung berapi menutupi ruang udara Eropah dan mengakibatkan semua penerbangan tergendala.
Pada 14 Jun 2011 negara dikejutkan dengan gegaran yang kuat menyebabkan bangunan tinggi di Ibu Negara dan beberapa tempat lain seperti Putra jaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak merasai gegaran. Gempa bumi berlaku dan melanda Sumatra lagi pada skala 5.6.
Bukanlah menyalahkan keadaan semasa dan bukanlah sebab perkara sebegini menjejaskan aktiviti harian, hanya sekadar membuat catatan. Walaupun perkara perkara tersebut berlaku beribu kilometer dari tempat kita tetapi kesannya tetap sampai disini. Sedikit sebanyak kehidupan kita juga akan terkena tempias.
Rancangan aku untuk ke Tanjung Dawai tidak kesampaian. Ada lagi baki 3 km untuk sampai ke Tanjung Dawai tetapi kelihatan hujan akan turun sebentar lagi. Semasa melalui kawasan bendang kelihatan titisan hujan diatas permukaan air. Aku terpaksa melajukan kayuhan kerana tiada tempat untuk berlindung sekiranya hujan menjadi lebat.
Aku singgah di sebuah pondok yang agak besar di Kampung Batu Hampar. Agak hairan kerana pondok tersebut bukanlah sebuah gerai atau kedai tetapi terdapat beberapa jug air, cawan dan dulang  yang baru digunakan. Pondok tersebut dilengkapi kipas angin siling dan TV yang digantung tinggi dan diletakkan didalam kotak diperbuat dari besi. Mungkin kerusi dan meja tidak berapa selesa kerana dibuat dari papan biasa.
Kemudian dua orang penduduk kampung yang menaiki motorsikal singgah dipondok tersebut juga untuk berteduh dari hujan. Meraka dalam perjalanan untuk mengadakan gotong royong disurau kampung tersebut sebagai persiapan menyambut Israk Mikraj pada 29 Jun nanti. Menurut mereka pondok tersebut digunakan untuk penduduk terutama generasi muda berkumpul pada waktu petang dan malam. Pondok tersebut juga dilengkapi dengan sambungan Internet percuma.Inilah satu satu keseronokkan tinggal dikampung. Komen aku adalah perkara sebegini tidak mungkin dapat diadakan di pekan atau bandar.
Seorang dari mereka menunjukkan minat pada aktiviti basikal. Walaupun telah membeli basikal tetapi belum ada kesempatan membuat kayuhan jauh. Dia agak terkejut apabila aku menceritakan sedikit pengalaman berbasikal termasuk kekerapan, jarak, tempat, kumpulan, rakan dan jenis basikal dimiliki. Dia juga susah percaya bahawa bila diberitahu umur lebih tua darinya.

Statistik
   Mula ............... 7.30 pagi
   Tamat ............. 10.00 pagi
   Jarak .............. 56 km
   Cuaca ............. mendong - hujan
   laluan ............. Semeling - Merbuk - Singkir - Tanjung Dawai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan