Halaman

Khamis, 30 Jun 2011

Peranginan Batu Hampar, Yan

Akhirnya hajat untuk berkayuh ke Peranginan Batu Hampar Yan tercapai juga. Bagi yang belum pernah kesana  ambil jalan ke Peranginan Titi Hayun dan membelok ke kanan setengah kilometer sebelum sampai ke Titi Hayun. Boleh juga mengambil jalan melalui kampung dengan membelok kekanan di tepi Pejabat Pos Yan Besar. Jalan ini kecil dan berliku liku.
Peranginan Batu Hampar lebih jauh ke dalam iaitu hampir 5 km dari Pekan Yan Besar berbanding dengan Peranginan Titi Hayun. Boleh tahan juga pendakian sebelum sampai ketempat perkelahan. Dikiri kanan jalan kecil tersebut adalah dusun buah buahan yang kebanyakkan ditanam dengan pokok durian dan sedikit pokok lain termasuk manggis dan cempedak.
Betapa hasil buah buahan menjadi begitu komersial. Memangnya buah buahan begitu berharga dan mendapat permintaan yang tinggi. Harga jualan menjadi begitu tinggi terutama bagi dusun yang mengeluarkan hasil lebih awal dari dusun dusun lain. Hasil yang dikutip oleh tuan punya dusun begitu lumayan. Ini boleh dilihat dari keadaan dusun dan kebun buah buahan. Kawasan dusun yang mana mengandungi banyak pokok buah buahan kini dipagar menggunakan pagar yang 'standard' iaitu jenis chain-link 5 kaki tinggi. Pintu masuk pula dibuat dengan besi sliding dan ada tembok konkrit pula.
Agaknya kebun yang sedemikian adalah kepunyaan orang kaya. Besar kemungkinan mereka tidak tinggal dikawasan itu. Kebun dan dusun dijaga oleh orang yang digaji. Orang kampung biasa tidak akan membazir seperti itu kerana rumah orang kampung ada didalam kebun atau dusun tersebut atau mungkin tidak jauh dari situ. Orang kaya yang mempunyai dusun memasang pagar jenis mahal kerana mereka tidak mahu hasil dusun mereka dicuri atau diambil oleh orang lain. 
Aku teringat cerita seorang kawan mengenai seorang yang 'berada' yang mempunyai dusun di Kubang Pasu Kedah. Hamba Allah tersebut singgah untuk sarapan pagi disebuah gerai dikampung kawan aku. Dia menceritakan membeli sebidang tanah yang ditanam dengan pokok buah buahan. Walaupun berasal dari kawasan tersebut tetapi kini menetap di Kuala Lumpur. Dia datang seorang diri kerana ahli keluarga yang lain tidak mahu ikut serta.
Dusun yang dibelinya 15 tahun lalu agak luas hampir 10 relong (saiz orang Kedah, tiga relong hampir bersamaan 1 hektar) tersebut ditanam dengan segala jenis pokok buahan. Sememangnya pada musim buah, makan tak habis ...... ikut kata budak budak sekarang. Boleh menjana banyak duit menjual hasil dusun tersebut. Memang seronok. Dia membina sebuah rumah kayu yang cantik didalam dusun tersebut untuk dijadikan tempat penginapan yang selesa apabila datang dari Kuala Lumpur.
Dia merasa kesal kerana sejak dia membeli dusun tersebut, anak anak tidak langsung berminat untuk datang walau sekali. Tujuan asal membeli harta tersebut adalah untuk menikmati 'quality time' bersama isteri, anak anak dan bersama saudara mara yang lain. Sedih apabila mereka tidak langsung menghargai usaha dan niatnya. Setiap kali musim buah hanya dia seorang diri yang ke dusun tersebut dan membawa balik hasil ke Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur menjadi tumpuan longgokan buah buahan apabila tiba musim. Buah buah dari merata tempat di Malaysia akan dibawa dan dijual disini. Kadang kala ia lebih enak dan lebih bagus. Sebabnya jelas. Kuasa membeli orang KL adalah tinggi.
Untuk hendak makan buah buah tidak perlu menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit  membeli dusun nun jauhnya hampir satu hari perjalanan. Dengan wang kurang dari RM50.00, boleh menikmati semuanya berbanding dengan berbelanja lebih RM400.00 duit minyak kereta, tol dan makan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jitra.
Akhirnya Hamba Allah tersebut menasihatkan dan berpesan kepada kawan aku, jika ada wang lebih, pergilah melancong keluar negeri, melihat tempat orang selepas menunaikan perkara wajib. Tidak perlu membeli dusun atau tanah untuk anak anak atau keluarga.
Aku bersetuju sungguh pesanan tersebut.
Tidak ada yang istimewa terdapat di Peranginan Batu Hampar ini. Hanya terdapat beberapa bangunan wakaf yang disediakan untuk pengunjung yang datang berkelah. Oleh kerana sungai jauh dibahagian bawah, tangga dan laluan disediakan. Sungai dimana kawasan peranginan tidak banyak air. Mungkin pada petang kawasan ini dikunjungi oleh remaja untuk belepak.
Aku memberikan 'no-star rating' pada tempat ini. Aku turun kekawasan pekelahan untuk tidak lebih 10 minit untuk melihat lihat kawasan tersebut. Kecewa. Aku terus menghala ke pekan Yan kerana perut pun sudah memberi isyarat.

   
Statistik
   Mula ........... 7.30 pagi
   Tamat ......... 12.00 tengah hari
   Jarak ........... 77 km
   Cuaca .......... Redup, mendung
   Laluan ......... Lencongan Barat - Merbuk - Singkir - Yan - Batu Hampar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan