Halaman

Rabu, 15 Jun 2011

Bukit Semarak .. persediaan untuk Trek Warisan

Seronok mendengar cerita Cikgu Ong tentang pengalaman pertamanya mendaki gunung Jerai pada Sabtu 11 Jun 2011 yang lalu. Dia datang kerumah petang kelmarin sebelum kerumah adiknya untuk makan malam. Sejak kematian isterinya lebih 10 tahun lalu, makan minumnya dijaga oleh adiknya yang kebetulan tinggal di taman yang sama. Seperti kebanyakkan kaum Cina yang lain makan malam mereka sebelum senja sebelum 7.00 malam. Sesuatu yang patut dijadikan contoh dan tauladan.
Dia bersama kawannya seorang wanita melakukan pendakian dari sebelah barat iaitu dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok. Dia meletakkan kereta diluar kawasan muzium tetapi atas nasihat pengawal keselamatan mengalihkan kereta ke kawasan parking muzium. Mengikut pengawal tersebut, kereta pengunjung yang diletakkan diluar sering dicuri tayar atau bahagian lain.
Trek yang disediakan sepanjang hampir 13 kilometer dinamakan 'Jejak Warisan' bermula dari Candi Lembah Bujang dan berakhir di 'Padang Tok Sheikh' di Puncak Gunung Jerai. Terdapat peta yang diletakkan pada permulaan trek di kawasan letak kereta muzium.
Mereka melalui denai yang disediakan dan berpandukan penanda plastik berwarna kuning yang diikat atau digantung pada pokok kecil atau dahan kayu pada jarak tertentu. Walau begitu ada suatu tempat dimana mereka tersilap jalan sehingga tersesat ke ladang getah. Terpaksa berpatah balik sehingga bertemu semula penanda plastik tersebut. Mereka melintasi sungai kecil dan melintasi dua bukit kecil sebelum sampai ke puncak Gunung Jerai berhampiran dengan menara pemancar telekomunikasi. Keseluruhan perjalanan mereka mengambil masa lebih lima jam.
Cikgu Ong menunjukkan kedua dua belah kaki nya kepada aku. Kesan gigitan pacat (leeches) memenuhi bahagian atas buku lalinya. Tidak kurang dari 30 kesan gigitan dikakinya. Hujan petang sehari sebelum mereka membuat pendakian menyababkan banyak 'pacat' disepanjang jalan. Dia tidak membuat sebarang persediaan untuk menghadapai seragan pacat tersebut. Hanya setalah balik dia diberitahu supaya merendam kasut yang akan dipakai dengan air tembakau dan keringkan. Pacat tidak akan hinggap dikaki untuk menghisap darah.
Sebagai seorang pencintai alam, Cikgu Ong tidak membunuh walau seekor pun pacat yang menghisap darahnya. Dia hanya membuangnya sahaja. Menurutnya lagi dia tidak marah pacat pacat tersebut tetapi yang dia tidak tahan  kesan kegatalan pada tempat yang digigit. Hinggakan susah untuk tidur kerana menggaru lukakan. Lain kali dia tahu apa yang perlu dilakukan, bawa satu paket tembakau untuk disapukan kepada bahagian kaki. Yang penting kasut yang dipakai mestilah sesuai. Seeloknya gunakan 'army boot'.
Kerana kesuntukkan masa mereka turun menaiki van ke kaki Gunung Jerai di sebelah Gurun. Dari sini mereka menyewa teksi untuk pulang ke Muzium Arkeologi Merbuk. Sempat sampai sebelum pintu utama tempat parking muzium ditutup.
Pengalaman pertama memberikan banyak pengetahan dan pelajaran kepada mereka berdua. Selain dari perlu mengikut laluan berpandukan penanda yang diletakkan, menggunakan pakaian dan kasut yang sesuai. Tongkat juga diperlukan. Mereka membawa cebisan kertas surat kabar untuk ditaburkan sebagai penanda sekiranya tersesat jalan. Membawa makanan secukupnya yang memberi tenaga seperti nasi, pisang, coklat atau roti. Tidak lupa air minuman yang mencukupi. Ingat .... tiada kedai atau gerai makanan disepanjang laluan tersebut.  
Tetapi perkara yang penting sekali adalah kesediaan fizikal diri. Badan mestilah betul betul sihat dan kuat. Untuk maklumat, Cikgu Ong dan rakannya tidak pernah gagal membuat pendakian setiap hari di Bukit Semarak. Kadangkala dalam hujan pun mereka akan melakukan pendakian.
Itupun Cikgu Ong mengalami kekejangan otot peha. Otot pehanya masih tidak kuat untuk pendakian Gunung Jerai. Dia bernasib baik kerana rakannya  membawa 'yoko yoko' yang amat berguna untuk mengubati kekejangan otot. Ubat ubatan juga perlu dibawa bersama ketika membuat pendakian. Jangan lupa pisau atau parang kecil.
Aku memang sudah lama berangan-angan untuk mengikuti denai laluan kepuncak gunung melalui muzium. Setakat ini masih belum berkesempatan dan tiada rakan yang sanggup ikut serta. Untuk masa sekarang aku berpuas hati untuk membuat pendakian di Bukit Semarak mengikuti jalan yang luas dan selesa. Hanya mengambil masa kurang dari 40 minit untuk naik dan turun. Insyaallah aku akan ke Gunung Jerai melalui Jejak Warisan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan