Halaman

Isnin, 27 Jun 2011

petai ... oh petai

bunga petai ....
Tidak boleh hendak fikirkan tajuk yang sesuai untuk posting kali ini. Semasa dipuncak Bukit Semarak aku mengambil beberapa gambar apa sahaja yang terlintas didepan mata dengan kamera 'point and shoot' Panasonic DMC S1 Lumix yang baru dibeli. Ia menggantikan kamera Panasonic Lumix lama. Kamera tersebut masih elok tetapi screen rosak dan hanya sebahagian dari image dapat dilihat. Mengikut kata penjual kamera, ia mungkin terjatuh atau tertekan. LCD mengalami kerosakkan. Ia boleh diganti dengan screen baru tetapi kosnya hampir RM200.00, tidak berbaloi. Itu pun tidak ada gerenti atau waranty. Beli baru lebih ekonomikal.
Aku rasa begitu hambar untuk membuat kayuhan pagi ini. Mengapa? Aku sendiri tidak pasti. Hendak dikatakan overdose, tidak juga. Kerana tidak mahu berehat terlalu lama tanpa membuat aktiviti senaman, (Sabtu dan Ahad aku tidak membuat kayuhan kerana banyak perkara yang perlu dibereskan) aku pergi ke Bukit Semarak. Pendakian dan berjogging dibukit ini akan membuatkan badanku berpeluh dan mendapatkan dos kesihatan yang mencukupi.
Sebaik sahaja memulakan pendakian, aku nampak Cikgu Ong lebih kurang 500 meter jaraknya sedang menuruni bukit. Walau wajahnya masih belum kelihatan, aku dapat mengenali bentuk badan, pakaian dan cara dia berjalan. Sempat bertegur dan bersembang untuk beberapa minit. Aku bertanya kenapa dia tidak hadir pada mesyuarat AJK KRT Taman Intan petang kelmarin. Dia memberitahu pagi kelmarin dia terpaksa berlari turun dari puncak bukit selepas mendapat panggilan telefon dari anaknya yang mendapat kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Alor Setar. Tayar hadapan kereta yang dipandu anaknya meletup menyebabkan kereta berpusing tiga kali sebelum melanggar besi penghadang jalan.
Sebagai seorang ayah yang mempunyai hanya dua orang anak dia terus ke lokasi kemalangan tanpa menukar pakaian jogging. Menurutnya lagi, anaknya tidak mengalami apa kecederaan tetapi kereta mengalami kerosakkan teruk. Dia bercadang untuk membeli kereta terpakai lain kerana bengkel yang membaiki kereta tersebut mengatakan pembaikan akan mengambil masa lebih kurang tiga bulan.
Aku bukanlah seorang professional dalam fotograpi, tidak arif tentang aparture, exposure, ISO, teknik pengambilan gambar, angle dan sebagainya. Sedikit pengetahuan yang ada hanyalah cukup merakam gambar untuk dijadikan kenangan dan rujukan. Juga untuk berkongsi dengan kawan kawan jika ada yang sudi melihatnya.
Dengan kemajuan dan teknologi sekarang, gambar yang diambil menjadi lebih senang untuk disimpan secara digital. Tidak perlu dicetak, tidak perlu disusun dan dilabel dalam album dan tidak perlu rak khas dirumah. Gambar digital boleh disimpan didalam cakera padat, pendrive atau di dalam komputer. Ia boleh disunting, dibesarkan atau dikecilkan, dihantar keseluruh dunia dan pelbagai lagi.

Gambar yang aku rakamkan dengan kamera digital compact banyak dipengaruhi oleh gambar yang aku lihat didalam buku, akhbar, majallah dan dalam internet. Kebiasaan gambar yang dirakamkan melibatkan gambar tuanpunya kamera, gambar keluarga atau rakan. Juga sering merakamkan gambar tempat, pemandangan atau objek yang menarik dan boleh mengembalikan ingatan apabila melihat gambar tersebut.
Untuk menghilang penat pendakian sebentar tadi aku memperlahankan pergerakkan. Aku mengambil masa secara santai berjalan perlahan lahan sambil memerhatikan objek objek terutama bunga, daun, pokok yang boleh aku rakamkan dengan kamera baru. Tidak banyak yang dapat dirakamkan kerana aku hanya mengikuti jalan. Masih belum bersedia untuk meneroka kedalam hutan mencari objek yang menarik.
Beri sedikit masa lagi aku akan menjelajah dan meneroka hutan disekitar bukit ini untuk mengambil gambar yang menarik.

Oh berbalik kepada petai ... kebanyakkan dusun di bukit ini ditanam dengan pokok petai atau durian. Petai dan durian mendapat permintaan tinggi. Petai kini digemari oleh semua kaum di Malaysia. Orang Cina lebih banyak makan petai dari orang Melayu. Kata mereka boleh dijadikan ubat dan membuang angin dalam badan.
Aku suka petai yang dibuat sambal, dicampur dengan ikan bilis atau sotong atau udang. Masak dengan banyak bawang besar dan bubuh santan secukupnya. Kalau mahu, kulit petai juga boleh dipotong halus dan dimasukkan ke dalam sambal tersebut. Satu lagi masakan yang paling aku suka ialah memasak petai dengan tempoyak. Menjadi kegemaran orang di Kedah makan petai yang dibakar diatas bara api atau direbus terlebih dahulu sebagai alternatif memakan mentah dengan nasi.
Jika memakan mentah sebagai ulam, bersihkan mulut sebelum ke masjid untuk berjemaah. Bau petai seperti juga bau durian boleh menyebabkan makmum lain hilang konsentrasi semasa mengerjakan solat. Ustaz kata 'makruh' makan petai. Ingat kartun Lat .... Mat Salleh pengsan kerana bau nafas orang yang makan petai dan durian.
Khasiat petai .... sesiapa berminat boleh serach internet. Pelbagai rencana mengenai kandungan dan khasiat petai boleh diperolehi. Terpulanglah kepada individu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan