Halaman

Isnin, 13 Jun 2011

bahaya (hazards) berbasikal

Dua hari lepas Yahoo site menyiarkan video tentang seorang penunggang basikal (Casey Neistat) disaman kerana tidak mengikuti laluan atau lorong basikal di Manhattan, Bandaraya New York. Sebagai bantahan dia dengan pertolongan seorang rakan, membuat video tentang betapa bahaya laluan khas untuk basikal yang disediakan dan memuatkan dalam 'You tube'. Dia secara sengaja dan tidak sengaja melanggar kereta, teksi dan kereta polis yang diletakkan pada laluan basikal, melanggar tong sampah, melanggar barangan perniagaan, masuk lubang, melanggar scaffolding (pembinaan) dan berbagai lagi.
Video tersebut menjadi sensasi, mendapat penonton yang ramai dan mendapat rating tinggi. Diakhir video memaparkan message bahawa dia mahu wang saman dikembalikan. Menurutnya laluan ata lorong basikal tersebut tidak selamat kepada penunggang.
Semalam 12 Jun 2011 dalam berita TV jam 8.00 malam disiarkan bantahan oleh penduduk di Mexico. Kumpulan tersebut yang terdiri dari lelaki dan perempuan mengayuh basikal berbogel sekeliling bandaraya Mexico,  ada yang memakai sedikit pakaian ditempat tertentu (bikini atau hanya seluar dalam) dan ramai juga yang mengecat badan mereka berbelang belang untuk melindungi benda benda sulit mereka. Tidak pasti apa yang dibantah kali ini tetapi pada tarikh sama tahun lepas mereka membuat bantahan atas pencemaran alam sekitar dan penginayaan terhadap haiwan. Berbogel sambil mengayuh basikal adalah perkara biasa di bandar ini.
Kayuhan aku pagi ini melalui Bandar Sungai Petani menuju ke Gurun. Aku keluar agak awal untuk mengelakkan kenderaan dijalan. Didalam bandar aku tidak begitu risau kerana kebanyakkan kenderaan dipandu agak perlahan dan terdapat banyak lampu isyart.  Dalam kesesakkan tersebut, aku teringat kepada kedua-dua cerita di atas.
Disepanjang kayuhan melalui jalan utama Sungai Petani - Alor Setar aku mengalami beberapa kesulitan dan berdepan dengan faktor faktor yang boleh menyebabkan kemalangan kepada penunggang basikal. Aku cuba mengingatkan semuanya agar aku dapat direkodkan ke dalam blog ini.
Untuk pengetahuan, laluan khas dibina untuk motorsikal dan basikal di kedua dua hala sepanjang jalan. Lorong tersebut agak luas dan boleh memuatkan satu kereta. Lorong tersebut dipisahkan dengan garis putih yang terang dan jelas. Pada jarak tertentu, tulisan 'Motorsikal Sahaja' berserta gambar motorsikal dicat dengan warna merah atau putih diatas  jalan memberitahu pengguna bahawa laluan tersebut dikhaskan kepada motorsikal. Ada juga sebahagian lokasi dimana keseluruhan lorong dicat dengan warna merah. Ini ditambah dengan signboard 'Gunakan Laluan Motorsikal' dan tanda bermula dan berakhir laluan khas tersebut.
Sebagai pengguna basikal, laluan sedemikian amatlah berguna dalam menentukan penunggang boleh berkayuh dengan selamat dan tanpa gangguan. Walau demikian penunggang sendiri mesti berhati-hati dan tidak mengambil mudah tentang keselamatan diri semasa berkayuh.
Sering motorsikal memotong terlalu hampir dengan penunggang basikal. Pada sesiapa yang berangan-angan, melayan fikiran atau terlalu menumpukan penglihatan kepada pemandangan di kiri kanan jalan, mungkin akan terkejut apabila dipotong oleh motorsikal terlalu hampir.
Pada setiap persimpangan jalan, perhatikan kenderaan yang keluar masuk. Kebanyakkan tidak memperlahankan kenderaan dan tidak mengikuti penunggang basikal dibelakang sebelum membelok. Sebaliknya terus memotong dan membelok terlalu hampir dengan penunggang basikal. Begitu juga dengan kenderaan yang keluar dari simpang tersebut. Sering mereka tidak berhenti sebagaimana peraturan dan undang-undang, untuk memberi laluan. Mungkin memikirkan basikal itu perlahan dan sempat ia keluar.
Ada juga kereta yang menggunakan laluan motorsikal tersebut untuk memotong. Ini membahayakan penuggang motorsikal atau basikal. Kadang kala bukan hanya kereta biasa tetapi van dan lori kecil juga berbuat demikian. Sikap pemandu di negara kita adalah sesuatu yang perlu diubah. Semuanya mahu cepat, semuanya hendak laju, tidak mahu ada sebarang halangan dihadapan. Semua kenderaan dihadapan mesti dipintas (overtake) walau apa atau bagaimana cara sekali pun. Pemandu dihadapan tidak boleh berada dijalan raya bila mereka memandu.
Yang paling merisaukan ialah banyak motorsikal yang dipandu bertentangan arah, menggunakan lorong tersebut tetapi dari arah bertentangan. Pernah aku alami kereta dipandu melawan arus! Betul betul aku tidak faham dan nampak rasionalnya. Mungkin mereka hendak ke destinasi berhampiran yang terletak disebelah yang sama dan tidak mahu menyeberangi atau melintasi jalan dua kali. Ada juga yang keluar dari simpang untuk membelok ke kanan dan tidak sabar menunggu sehingga boleh melintas. Mereka membelok kekanan tetapi tidak melintas dan menyusuri laluan bertentangan. Apabila cukup laju dan tiada kereta dari arah bertentangan akan memasuki jalan seolah oleh memotong kenderaan.
Dalam kes kes diatas, kita sering menyalahkan pemandu bermotor lain. Kadang kala tidak henti menyumpah seranah mereka dan ada kalanya mendoakan mereka mendapat kemalangan dihadapan sana, atau sekurang-kurangnya tayar kenderaan mereka mletup. Puas hati. Betapa berbeza keadaan di negara maju seperti Eropah, penunggang basikal diberi keistimewaan dan keutamaan apabila berada dijalan raya. Sekiranya berlaku kemalangan atau kecelakaan, penunggang basikal adalah pihak yang betul. Pemandu kenderan bermotor lain akan dipersalahkan, diambil tindakan dan disaman.
Selain itu banyak lagi bahaya lain pada laluan atau lorong tersebut. Ia termasuk kenderaan yang diletakkan (parking) terlalu keluar hingga menggunakan setengah dari laluan, terdapat lubang lubang kecil, man-hole, jalan yang rosak, berlubang atau merekah.
Paling bahaya adalah longgokan pasir atau tanah halus yang dibawa oleh air ketika hujan atau lebihan dari pembinaan struktur ditepi jalan. Pasir halus boleh menyebabkan basikal terutama roadbikes hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan. Longgokan cermin kereta pecah boleh menyebabkan tayar mengalami kebocoran.
Terpulanglah kepada kebijaksanaan penunggang sendiri untuk mengambil langkah langkah bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku. Adakah berkayuh offroad lebih selamat?

Statistik
   Mula ............ 7.15 pagi
   Tamat ......... 10.10 pagi
   Jarak ............ 56 km
   Cuaca .......... cerah
   Laluan ......... N1 - Gurun - Modenas - Perwaja
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan