Halaman

Isnin, 20 Jun 2011

Sungai Ular ......

Sungai Ular terletak di jalan Kulim - Serdang Bandar Bahru selepas simpang Kulim Hi Tech Park. Kenapa aku pilih untuk berkayuh kesini hari ini.  Aku bercadang untuk berjumpa geng lama yang bekerja di Loji Pembersihan Air Sungai Ular, Kulim. Masa aku masih bekerja empat thun dulu, aku datang kesini setiap minggu untuk mengawasi operasi loji. Walaupun sudah lama aku tinggalkan tetapi aku masih tetap berhubung dengan pekerja pekerja loji tersebut.
Tidak tahu pula asal usul nama Sungai Ular. Kalau tidak silap aku sungai yang mengalir dan membekalkan air untuk dirawat di loji tersebut adalah Sungai Kulim. Ia bermula dari kawasan gunung Gunung Pongsu melalui Bandar Kulim, Pekan Lunas dan berakhir di Prai. Adakah di sungai tersebut terdapat banyak ular? tidak mungkin nama sungai ular diberi kerana sungai bengkang bengkok seperti ular kerana semua sungai begitu.
Kayuhan pagi ini melalui Pinang Tunggal, Ekor Kucing, Padang Serai, Sungai Seluang, Kelang Lama dan persimpangan Jalan Serdang - Kulim. Sebelum berhenti rehat untuk minum pagi aku menalifon kawan yang berkerja di Loji Sungai Ular. Malangnya dia berada diluar kawasan. Aku batalkan rancangan untuk ke loji air dan berpatah untuk pulang selepas mengisi perut.
Pada awal tahun 1990'an, penduduk Pinang Tunggal perlu ke Bandar Sungai Petani untuk ke Kulim melalui Jalan Kuala Ketil - Sidam - Padang Serai. Kemudian pembinaan jambatan melintasi landasan kereta api memendekkan jarak melalui Pantai Prai - Sidam. Pada awal 2000'an, jambatan dibina melintasi Sungai Muda menyambungkan Pinang Tunggal Kedah dan Pinang Tunggal Pulau Pinang. Sebelum itu hanya motorsikal, basikal dan pejalan kaki boleh menyeberangi Sungai Muda dari Pekan Rabu Pinang Tunggal menggunakan titi kecil yang disambung disebelah landasan kereta api. Titi tersebut masih tidak diruntuhkan walaupun jambatan kekal telah siap.
Bandar Kulim mengalami perubahan pesat semenjak aku mula pertama kali sampai dua puluh tahun lalu. Kini bandar Kulim telah menular lebih 5 km dari pekan asal. Kawasan Kelang Lama kini menjadi pesat membangun dengan pusat komersial. Terdapat tidak kurang dari 10 persimpangan lamu isyarat di kawasan tersebut dimana dahulunya hanya terdapat satu 'round-about'.
Aku mengambil jalan pulang melalui jalan Kelang Lama menuju Pekan Lunas. Dari situ  berbelok ke kanan ke arah Naga Lilit dan Padang Serai. Walau langit masih diselubungi jerubu dan matahari tidak bersinar panas, tetapi aku sangat kehausan. Singgah di gerai menjual air tebu dan memesan dua gelas besar. Setuju atau tidak, selepas itu aku merasakan lebih bertenaga. Agaknya kandungan gula didalam air tersebut memberikan tenaga segera kepada badan kita.  Sungguh laris jualan air tebunya kerana orang tidak putus putus berhenti untuk membeli.
Peniaga gerai tersebut seorang muda yang berusia lebih kurang 30 tahun amat kagum apabila mengetahui aku berkayuh dari Sungai Petani ke Kulim dan balik. Menurutnya dia tidak mungkin boleh menghabiskan kayuhan sejauh 1 km. Apa hendak diherankan, kali terakhir dia mengayuh basikal lebh 15 tahun lalu. Dalam masa lebih kurang 10 minit ku berada digerai tersebut dia menghabis tiga batang rokok .....! Berat badannya dalam lingkungan 85 kg.
Rasanya aku ingin untuk membuat kayuhan ke Mengkuang Dam di Bukit Mertajam dalam masa terdekat melalui jalan ini.


Statistik
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............ 12.20 tengah hari
   Jarak .............. 88 km
   Cuaca ............. mendong
   laluan ............. Pinang Tunggak - Padang Serai - Sungai Seluang - Kulim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan