Halaman

Rabu, 1 Jun 2011

Rasa lain macam je ......

Suboh tadi hujan turun dengan lebat seawal jam 5.00 pagi. Aku pasang niat sebelum masuk tidur untuk membuat kayuhan pagi ini dan terpaksa dibatalkan. Pagi hari sebelum pun begitu juga, hujan turun. Pada sebelah petang tadi cuaca amat baik sekali dengan langit cerah dan matahari bersinar terang. Tidak mahu mensia-siakan keadaan yang begitu indah, aku mengambil keputusan untuk keluar bersiar siar dengan basikal MTB lama.
Sebaik sahaja aku membuka pintu pagar untuk memulakan kayuhan, handphone pula berbunyi. Seorang kawan ingin berjumpa. Terpaksa tangguhkan kayuhan sambil menunggu kawan tersebut datang. Mungkin membawa hajat besar kerana beriya-iya meminta aku menungg sehingga dia sampai.
Kawan ini adalah seorang pesara guru berumur lebih 65 tahun dan kematian isteri pada bulan Disember 2010 kerana stroke.
Tujuan dia ingin berjumpa adalah untuk menghantar kad jemputan kahwin. Dia menamatkan tempuh dudanya selepas enam bulan keseorangan. Walaupun ada empat orang anak tetapi tiada seorang pun yang tinggal dengannya.
Aku bertanya bagaimana reaksi anak anak bila dia berkahwin lain menggantikan arwah emak mereka. Menurutnya sebagai lelaki, tidak perlu untuk meminta izin atau kebenaran untuk berkahwin lagi selepas kematian isteri. Sekadar memberitahu anak anak tentang hajat sahaja. Seseorang itu perlukan teman hidup untuk menghabiskan sisa-sisa hidup. Kalau diharapkan anak anak untuk menjaga makan minum, agak susah kerana mereka semua ada tanggungjawap dan keluarga masing masing.
Sebelum meninggal dunia, isterinya lumpuh dan tidak boleh bangun hampir dua tahun (bed-ridden). Kawan aku ini menjaga dan merawat isterinya sehingga ke akhir hayat. Anak anak cuma balik sekejap sekejap pada cuti hujung minggu atau cuti umum. Pernah dia mengaji pembantu rumah warga Indonesia untuk menjaga isterinya, tetapi tidak lama kerana pembantu cabut lari kerana tidak sanggup menjaga orang sakit seperti isterinya. 
Dalam tempuh tersebut, pernah aku dengar desas desus bahawa sahabat ini kelihatan dengan wanita lain. Tiada komen. Hak dia. Dua tiga bulan selepas kematian isterinya ada desas desus mengatakan dia telah berkahwin lain. Sekali lagi aku tidak mahu membuat sebarang andaian. Aku diam sahaja. Hah ...... sekarang barulah jelas. Dia dan pasangan telah selamat diijabkabulkan pada 21 Mei 2011 lalu dan kenduri akan diadakan pada Sabtu 04 Jun ini.
Walau apa pun aku tumpang bergembira diatas keputusan itu dan mendoakan kebahagian. Sekurang kurangnya hidupnya akan lebih terurus dan akan menghabiskan lebih masa dirumah. Sebelum ini dia banyak menghabiskan masa dengan hobinya iaitu memancing. Tidak kira memancing di darat (maksud aku ... kolam ikan) atau dilaut. Kalau ke laut, selalunya pergi untuk beberapa hari ke pulau pulau berhampiran dengan persisiran pantai Negeri Kedah atau Pulau Pinang. Mungkin ini akan berubah apabila dia mendapat pengganti baru.
Aku berkayuh ke Supermarket Gaint yang terletak lebih kurang tiga kilometer dari rumah. Pada mulanya aku hanya ingin membeli sepaket 'Instant Quarker Oats' untuk sarapan setiap pagi. Kedai runcit berhampiran rumah sudah kehabisan stok.
Aku telah mengamalkan quakers oats sebagai sarapan setiap pagi sejak tahun 1996 apabila aku diserang penyakit jantung. Dahulu aku mencampurkan susu pekat manis kedalam oats tersebut untuk menjadi lebih enak dan sedap dimakan. Beberapa tahun kebelakangan ini aku hanya mencampurkan air panas tanpa susu atau gula. Alah bisa tegal biasa.
Satu perkara yang aku malas untuk ke Supermarket ialah walaupun pada mulanya berhajat untuk membeli satu barang, akhirnya membawa pulang lebih banyak barangan lain. Tidak kisahlah kerana mungkin barangan lain tersebut diperlukan.
Apa yang aku ingin luahkan ialah apabila terlalu banyak barangan aku terpaksa menggantung pada handle basikal. Semasa berkayuh pulang aku merasa pelik .. macam orang tu je ..... maksud aku, nampak macam pekerja Bangla atau Nepal atau Vietnam pergi shopping pada sebelah petang selepas kerja atau pada hujung minggu. Bezanya mereka selalu pergi shopping berkumpulan dan berkayuh pulang beramai ramai.
Rasa janggal dan lain amcam je pula. Cepa cepat aku pulang kerumah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan