Halaman

Selasa, 28 Jun 2011

Seri Kenangan ..... Bedong

Pada mulanya aku hanya ingin untuk merakamkan beberapa gambar Rumah Seri Kenangan Bedong dari jalan raya diluar pagar sahaja. Rumah kebajikkan ini menempatkan dan menjaga orang orang tua warga emas yang hidup sebatang kara dan tiada orang menjaga mereka walaupun sesetengah dari mereka masih mempunyai keluarga dan anak anak.
Memang orang awam tidak dibenarkan masuk kedalam  kawasan dimana orang orang tua ditempatkan. Pintu masuk utama sentiasa ditutup dan pengawal sentiasa berada di pos kawalan. Aku hanya memerhatikan dari luar tidak jauh dari pintu masuk utama.
Jam baru pukul 8.00 pagi. Kelihatan semua penghuni berada diluar bilik masing masing dengan mengadakan aktiviti senaman ringan di padang. Kebanyakkan penghuni wanita melakukan senaman secara berkumpulan, manakala beberapa penghuni lelaki bermain bola sepak di padang (dah tua-tua pun nak sepak bola juga), hanya tendang bola antara tiga empat orang mereka dan ada juga penghuni yang berjalan ke hulu hilir dihadapan bangunan kediaman mereka.
Salah seorang dari penghuni yang berjalan kaki menghampiri pagar dimana aku berdiri memerhatikan mereka. Dia berhenti betul betul dihadapan aku antara jarak 1 meter. Kami dipisahkan oleh pagar chain-link. Dia seolah olah ingin berbual dengan aku dan aku juga begitu, tetapi aku bimbang kalau ianya menyalahi peraturan. Bila dia mendapati tiada respon dia pun berlalu meneruskan aktiviti berjalan. Kemudian dia berpatah balik dan berjalan berhampiran dengan aku sekali lagi. Kali ini aku dengan perasaan kesal dan belas terus mengayuh basikal meninggalkan kawasan tersebut.
Aku membohongi diri sendiri jika aku katakan bahawa aku faham perasaan, kesunyian. kerinduaan dan perasaan mahu bebas yang dialami oleh penghuni rumah kebajikkan ini. Penghuni yang menghampiri aku sebentar tadi bukanya mahu apa apa dari aku, jauh sekali wang ringgit yang mungkin disedekahkan kepadanya. Semua itu tidak membawa apa apa makna kepada mereka kerana segala yang mereka mahukan dari makanan dan pakaian semuanya disediakan. Bahkan mereka mendapat banyak sumbangan makanan dan pakaian dari orang ramai setiap masa.
Mungkin apa yang dia mahukan hanyalah sekadar sedikit perhatian dan seseorang untuk berbual sejenak untuk melepaskan rasa bosan atau melepaskan rasa terkongkong hidup di rumah kebajikkan itu. Itu yang selalu aku dengar dari mereka yang sering dapat melawat ke sini. Betapa suka, gembira dan ceria wajah mereka apabila ada orang datang melawat mereka. Sama seperti perasaan pesakit yang terlantar di wad hospital ketika dilawat oleh keluarga atau rakan dan sahabat handai.
Lawatan hanya dibenarkan secara berkumpulan oleh NGO atau badan dan persatuan tertentu. Perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis dari pebajat di Alor Setar. Pernah suatu masa dahulu aku bagi pihak Rukun Tetangga memohon untuk menziarahi mereka sambil memberikan apa apa bantuan yang diperlukan, tetapi terpaksa dibatalkan kerana terlalu banyak birokrasi dan red tape. Belum lagi syarat dan peraturan yang dikenakan. Itu tidak boleh, ini tidak dibenarkan, ahhh .........
Kita boleh menerima hakikat bahawa rumah ini memberi perlindungan dan menjaga mereka yang miskin, tidak mempunyai ahli keluarga atau saudara mara untuk menjaga mereka tetapi agak sukar menerima hakikat setengah orang tua yang menjadi penghuni dihantar oleh anak anak mereka sendiri.
Menjemur tembakau di Sg Lalang
Sebentar tadi aku singgah di Pekan Sungai Lalang. Rasanya ini kali ketiga aku memasuki pekan kecil ini. Pertama kali untuk mencari kedai basikal membaiki kebocoran tayar basikal semasa kayuhan dan kedua ketika meghadiri program Rukun Tetangga. Oh... pernah sekali lagi lalu ketika menaiki bus dari Sungai Petani ke Alor Setar. Pekan kecil ini hanya mempunyai lebih kurang 30 unit kedai papan. Kedai baru terletak di kiri kanan jalan utama.
Dari Bedong aku menghala ke jalan yang belum pernah aku lalui sebelum ini. Ada jalan tar dihujung Pencawang Utama TNB Bedong. Tidak tahu kemana jalan tersebut akan membawa aku, kalau sesat aku akan berpatah balik. Jalan tersebut membawa menglaha jauh kedalam ladang kelapa sawit dengan jalan tanah merah. Ada sebuah perkampungan, mungkin untuk pekerja ladang. Menariknya nama kampung tersebut ialah 'Kampung Thye Eng'.
Beberapa kali aku terpaksa berpatah balik kerana sampai ke penghujung jalan. Samaada ianya kolam ternakan ikan, ladang ternakan ayam atau tebing Sungai Merbok. Akhirnya terpaksa bertanyakan kepada orang arah jalan keluar. Aku meredah ladang kelapa sawit perlahan lahan kerana jalan yang tidak rata dan berlopak. Hanya satu yang aku risaukan. Tayar basikal aku bukan tayar mountain bikes. Aku menggunakan tayar slick.
Setelah hampir 30 minit berkayuh didalam ladang sawit, aku berjaya keluar dan sampai ke kawasan sawah padi. Kerap juga berhenti untuk melihat padi yang sedang mengeluarkan buah. Terus pulang kerumah melalui Pekan Semelinng.

Statistik
   Mula ................ 7.25 pagi
   Tamat .............. 10.00 pagi
   Jarak ............... 38 km
   Cuaca .............. cerah
   Laluan ............. Lencongan Barat - Pekan Sungai Lalang - Bedong - Semeling
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan