Halaman

Khamis, 9 Jun 2011

...... outback .. Bukit Selambau

Rasa seronok dan damai melalui kawasan yang dipenuhi dengan pokok kelapa sawit dan getah disepanjang kayuhan pagi ini. Sebaik sahaja membelok dari jalan lencongan timur menghala ke Kuala Ketil, rimbunan pohon di  kiri dan kanan jalan bagaikan payung melindungi dari panas matahari. Tidak mengapa kenderaan yang berduyun duyun dari kedua arah jalan. 
Aku seronok melalui jalan ini kerana ia berbukit bukit, tidak tinggi tetapi cukup mengasyikkan. Kadang kala terpaksa berusaha kuat untuk mendaki, bila tiba dipuncak boleh melepaskan lengoh kaki semasa menuruni bukit. Kelajuan menurun bukit boleh mencecah lebih 45 km/j. Masa ini terasa angin membadai muka dan badan. Jika baju longgar, ia akan berkibar kibar mendatangkan kesan (efek) yang sukar dilupakan.
Itulah kekayaan negara kita. Kebanyakkan tanah pertanian ditanam dengan kelapa sawit atau getah. Dua komoditi utama yang menjana ekonomi negara. Kedua dua komoditi ini pernah menjadi keluaran nombor satu negara kita di dunia. Kini tempat tersebut telah diambil alih oleh jiran jiran kita dimana mereka mempunyai keluasan tanah dan sumber tenaga manusia yang lebih murah.


Semasa anak lelaki aku yang sedang belajar di Perancis pulang untuk menghabiskan cuti pada musim panas, dia sering mengikut aku berkayuh basikal. Sebelum ini dia tidak pernah menjelajah dan meneroka kawasan seperti ini dengan basikal. Dia tidak pernah melalui kawasan ladang kelapa sawit atau ladang getah dan kawasan sawah padi. Seronok melihat dia begitu gembira dan teruja apabila membuat kayuhan tersebut.
SK Juan pernah mengatakan kepada anak aku tersebut, walaupun di Eropah menarik tetapi disini lebih cantik dengan pemandangan semula jadi yang boleh dilihat sepanjang tahun.
Tidak kurang 10 jenis kopi segera
Aku singgah disebuah gerai dikawasan perindustrian Bukit Selambau. Kawasan ini menempatkan kilang kilang yang dipindahkan dari Bandar Sungai Petani lebih 15 tahun yang lalu. Kebanyakkan kilang tersebut adalah kilang kayu kayan yang banyak mengeluarkan pencemaran berupa asap dan debu. Tidak semua kilang kilang jenis tersebut berpindah kekawasan ini.
Ketika aku singgah tiada pelanggan lain digerai tersebut. Aku melihat gerai menjual nasi dan lauk yang telah siap dimasak. Yang menarik perhatian aku adalah deratan kopi segera yang digantung bersebelahan dengan dapur membuat air minuman. Tidak kurang dari sepuluh jenis kopi segera dijual. Pelbagai jenis campuran yang boleh diperolehi.
Kopi tersebut dijual dalam bentuk paket dan dibancuh terus kedalam air panas. Kopi tersebut dikatakan boleh memulihkan tenaga. Itulah sebabnya kopi tersebut begitu laris digerai seperti ini yang dikunjungi oleh pekerja kilang pada waktu makan dan rehat. Aku sendiri jarang meminum kopi seperti ini kerana tidak begitu yakin dengan khasiatnya.
Kena dua bungkus tapai ..... aku suka
Aku tidak dapat menahan selera untuk mencuba tapai pulut yang diletakkan dihadapan aku. Walau masih pagi, sempat aku habiskan dua bungkus tapai. Sedapnya. Ia tidak berapa manis dan tidak pula tawar. Mungkin tapai tersebut telah agak lama kerana ia tidak berapa putih seperti sepatutnya. Aku bukanlah tahu atau pandai sangat tentang tapai .... tapi memang aku sangat menyukainya. Kalau saiz seperti yang dijual aku boleh habiskan hingga 10 biji. Pernah dua kali aku cuba membuat tapai sendiri tetapi masih belum menjadi. Orang kata ragi yang digunakan amatlah penting untuk membuat tapai yang enak dan manis.
Walaupun jarak kayuhan pagi ini tidak sejauh jarak kayuhan yang aku buat dua hari lepas ke Butterwork, tetapi ia mengambil masa yang lebih lama. Ini kerana jalan yang berbukit bukit jika dibandingkan dengan jalan ke Butterworth. Juga disebabkan aku berkayuh perlahan kerana menikmati pemandangan dan suasana yang amat ceria.

Statistik
   Mula ............... 7.40 pagi
   Tamat ............. 10.30 pagi
   Jarak ............... 61 km
   Cuaca .............. Cerah
   Laluan ............. Kuala Ketil - Bukit Selambau - Sungai Lalang - Sungai Petani
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan