Halaman

Sabtu, 21 Januari 2012

Bukit Semarak

Setiap kali aku berhajat untuk berjogging di bukit ini, ada saja halangan. Selalunya hujan pagi dan menjadi merbahaya, takut tergelincir kerana jalan licin. Kali terakhir aku ke sini pada tahun lalu, satu tahun berlalu ! Sebenarnya pada Disember lalu. Tidak sampai satu bulan pun.
Perkara pertama yang terlihat adalah jalan mendaki bukit. Dari tempat parking kereta kelihatan jalan dari bawah hingga keatas lebih besar dan rata. Semua lobang yang dibentuk oleh laluan air semasa hujan telah dibaiki dan diratakan. Memang tidak menjadi masalah untuk membuat pendakian. 
Setiap tahun jalan yang digunakan oleh orang ramai yang membuat aktiviti berjalan kaki dan berjogging akan di ratakan dan dibersihkan menggunakan jentolak. Ia dilakukan oleh individu yang sama setiap tahun. Aku tidak pernah tahu atau kenal siapa tetapi rasanya dia adalah orang yang aktif melakukan aktiviti ini. Aku mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih bagi pihak semua yang menggunakan jalan ini.
Dahulu pernah diletakkan tong seperti tong kutipan derma yang terdapat masjid atau surau diletakkan dilaluan utama. Tujuan ialah untuk membolehkan sesiapa yang ingin menderma untuk menampung kos atau perbelanjaan jentolak tersebut. Rasanya sambutan tidak begitu menggalakkan. Hanya sedikit sahaja kutipan yang diperolehi. Kemudian dari itu tiada lagi tong derma diletakkan.Semua kos ditanggung oleh individu tersebut.
Aku sampai agak lewat, semua muka muka yang tegar yang datang kesini setiap hari telah pulang. Walau bagitu masih ramai yang baru sampai tetapi mereka ini adlah yang datang sekali sekala. Ramai juga remaja yang datang.
Kenapa setiap kali aku kesini aku ada sikap dan sifat berlumba? Aku akan cuba untuk memotong orang yang dihadapan walau pun aku terpaksa menggunakan banyak tenaga dan tercungap cungap. Selalunya apabila dapat mendahulu aku akan merasakan satu macam kepuasan. Aku seperti hendak mereka tahu walau sudah berusia hampir 60 tahun aku masih mampu dan juga boleh mendahului mereka.
Satu lagi sikap buruk adalah aku berasa begitu megah dan bangga kerana mengikuti jalan menegak untuk sampai ke atas bukit manakala orang lain mengikuti jalan biasa. Aku sedar sikap tersebut adalah tidak baik. Kesihatan yang membolehkan aku boleh melakukan aktiviti tersebut adalah anugerah Tuhan dan mesti bersyukur terhadap pemberiaan tersebut. Sepatutnya aku patut berdoa untuk anugerah kesihatan tersebut juga diberikan kepada orang lain yang yang melakukan aktiviti senaman ini.
Laluan ini sangat kurang dilalui oleh pendaki kerana laluan mula dipenuhi oleh anak anak pokok dan rumput. Apa yang aku risaukan ialah tempat berpijak yang agak licin. Tangga tanah tempat berpijak perlu diperbaiki untuk memudahkan pendakian dan tidak mendatangkan bahaya.
Terlupa pula untuk memeriksa kedua belah kaki jika ada pacat yang berjaya hinggap untuk menghisap darah aku. Baru dua hari lepas aku kena mengeluarkan hampir satu tabung darah untuk pemeriksaan kesihatan. Bukan aku marah paacat pacat tersebut mengambil sedikit darah ku. Mungkin ada manafaatnya. Pernah dahulu empat atau lima ekor pacat melekat pada satu masa. Pacat menghisap tidak sebanyak lintah.
Semasa membaca akhbar hari ini, anak menyuruh aku memeriksa kaki kalau berdarah. Bila aku tanya kenapa dia menyatakan bahawa ada seekor pacat didalam bilik air. Agaknya pacat tersebut terlekat di stocking dan belum sempat untuk menjalankan tugasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan