Halaman

Isnin, 23 Januari 2012

Bukit Tangga, Jelebu

" .... GONG XI FA CAI .... "
kepada semua rakan dan rakyat Malaysia berbangsa Cina


Sempena cuti sekolah selama 1 minggu kerana sambutan Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai kepada kaum Cina, famili mengajak balik ke kampung untuk menziarahi keluarga disana. Bagus juga kerana kali terakhir aku balik adalah semasa Hari Raya Puasa yang lepas. Walau begitu anak anak bergilir balik untuk menziarahi nenek yang sudah melebihi 85 tahun.
Secara melawak menyuruh anak aku memandu kereta balik ke Seremban dan aku pulang sehari dua lebih awal menaiki basikal .........! Memang sudah lama aku berhasrat untuk menjadikan ini kenyataan. Dahulu tidak boleh melakukannya kerana anak masih kecil dan mereka tidak layak memandu  kereta tetapi kini dua dari mereka telah memperolehi lesen memandu.
Isteri aku membantah ... biasa lah tu tapi rasanya boleh dipujuk. Masalah utama adalah peningkatan jumlah kenderaan di jalan waktu cuti perayaan ini. Melihat berita di TV atau di akhbar cukup menakutkan dengan jalan semuanya sesak teruk. Lebuhraya menghala ke utara dari Kuala Lumpur bagaikan lumpuh dan ada yang tersangkut lebih dua belas jam bagi perjalanan yang biasanya hanya memerlukan tiga atau empat jam.
Dimana mana terdapat kesesakan jalan. Bandar Sungai Petani yang selalunya tidak menghadapi sebarang masalah tiba menjadi sibuk dan sesak. Tiba suasana bertukar dari aman dan easy going menjadi kelam kabut hinggakan bantuan poils diperlukan pada setiap simpang walaupun ada lampu isyarat. Penduduk Sungai Petani yang tidak biasa dengan keadaan sebegini mengeluh dan tidak menyangka sama sekali mereka berdepan dengan kesesakkan teruk.
Perayaan sekarang menjadi begitu hebat disebabkan cuti panjang. kaum yang tidak menyambut perayaan tersebut menggunakan kesempatan untuk pulang kekampung halaman dan ramai yang mengambil kesempatan untuk pergi bercuti.
Walau tidak berpeluang untuk berkayuh pulang ke Seremban kali ini, aku yakin dalam masa terdekat ini akan dapat merealisasikan impian tersebut. Sebaliknya aku membawa mtb bersama, ada dua tiga tempat yang ingin aku berkayuh. Pertama jalan Bukit Putus Kuala Pilah, kedua ke Bukit Tangga Jelebu dan ketiga untuk sampai ke puncak Gunung Telapak Buruk. Gunung  ini adalah yang tertinggi di Negeri Sembilan dan hampir sama paras dengan Gunung Jerai di Kedah. Aku rasakan tiada masalah untuk sampai ke atas jika jalannya elok.
Untuk kali ini aku akan mengikut jalan Bukit Tangga untuk sampai ke Kuala Kelawang. Oleh kerana sebelum ini aku tidak pernah berkayuh disini sukar untuk menganggarkan ketinggian dan kesukaran kayuhan. Jalan ini sering digunakan pada siri Le Tour de Langkawi, jadi rasanya tidak begitu teruk. Ramai yang melihat aku bersedia di pekan Pantai merasakan terkejut dan seolah tidak percaya aku boleh sampai ke destinasi.
Peringkat awal perjalanan sejauh 5 km agak landai dan pendakian sejauh 5 km selanjutnya hingga ke kawasan paling tinggi jalan tidaklah begitu mencabar. Kayuhan Gunug Inas Baling lebih tinggi dan lebih panjang. Apa yang menyeronokkan ialah cuaca ketika itu. Kebanyakkan kawasan masih diseliputi kabus tebal dan suhu agak rendah.
Jalan Bukit Tangga ini dahulu sempit dan penuh dengan selekoh selekoh yang berbahaya. Pendakian amat curam pada sesetengah tempat. Ia sesuai pada ketika itu kerana kerana masih tidak laju dan jumlahnya tidak banyak. Dengan pembangunan pesat dan peningkatan jumlah kenderaan jalan tersebut tidak lagi sesuai dan perlu diperbesarkan dan selekoh perlu dikurangkan.
Pembinaan untuk memperbaiki jalan tersebut dimulakan pada tahun 2002 dan tamat pada 2006. Ia menelan belanja hampitr 50 juta ringgit. Kini ia menjadi lebih selamat dan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Kelawang ke Seremban.
Hampir 90 minit kemudian aku sampai ke Pekan Kuala Kelawang. Keseluruhan pekan sunyi kerana hampir kesemua kedai tutup sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada hari ini. Aku berkayuh secara zig-zag dari satu jalan ke jalan lain dan dari satu lorong ke lorong lain. Jalan dipenuhi kereta dikiri kanan tetapi semua statik tidak bergerak ditempat parking. Agaknya semua kaum keluarga balik.
Beberapa lokasi menarik disekitar pekan juga tidak dapat dilawati kerana ditutup. aku hanya sempat melihat kawasan luar sahaja. Singgah untuk sarapan pagi disebuah gerai dipinggir bandar untuk melepaskan haus dan lapar perut. Tuan punya kedai terkejut kerana ingatkan aku berkayuh dari Sungai Petani. Dia juga terpinga pinga kerana aku bertutur dialek negori. Lama juga ambil masa untuk menerangkan asal usul.
Sempat bertanyakan dimanakah jalan ke Gunung Telapak Buruk. Isteri tuan kedai secara serius menegur aku yang gunung tersebut tinggi untuk sampai dengan mengayuh basikal. Kalau kereta atau motorsikal boleh naik hingga ke atas, basikal mtb aku pun boleh. Mengikut tuan kedai banyak tempat memancing disungai yang mengalir dari kawasan gunung. OK ... hari ini cukup untuk naik turun jalan Bukit Tangga dan singgah di Taman Rekreasi Jeram Toi dalam perjalanan pulang sebentar nanti.
Menurut papan tanda, Jeran Toi ini ditemui oleh seorang Pegawai Inggeris pada tahun 1895 dan asal nama adalah sempena nama Tok Batin Toi yang pernah menangkis serangan puak Rawa dari Sumatera  yang menyerang Jelebu. Jeram Toi mempunyai tujuh tingkat air terjun dari sungai yang mengalir dari Puncak Gunung Telapak Buruk. Tempat ini menjadi kawasan rekreasi utama disepanjang jalan ini dan dipenuhi pengunjung pada hujung minggu dan cuti am.
Di lain masa aku akan berkayuh ke Kuala Pilah melalui Pekan Kuala Kelawang ini.

Statistik
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............. 12.00 tengah hari
   Jarak ............... 45 km
   Cuaca ............. Panas
   Laluan ............ Pantai (Seremban) - Kuala Kelawang (Jelebu)
   Odometer 2012 : 00405
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan