Halaman

Rabu, 11 Januari 2012

Muara Sungai Muda

Kelmarin aku beriya-iya untuk berkayuh kerana sudah dua hari berehat tetapi terpaksa dibatalkan kerana langit gelap dengan awan hitam dan hujan mulai turun renyai renyai. Hari ini keadaan cuaca lebih kurang sama seperti hari sebelumnya tetapi aku meneruskan hasrat untuk berkayuh. Aku yakin hujan tidak akan turun pagi ini.
Sejak kebelakangan ini rata rata rakan banyak mengeluh kerana angin timur yang bertiup kuat sehingga menyukarkan kayuhan. Tambahan pula kalau jalan yang dimabil melalui tepi bendang atau tepi laut. Petang kelmarin aku mengajak SK Juan untuk membuat kayuhan ke Pantai Merdeka tetapi dia menolak kerana tidak tahan dengan tiupan angin timur.
Aku membatalkan hasrat untuk ke Pantai Merdeka apabila sampai di Kota Kuala Muda. Sebaliknya aku menyeberang Jambatan Sungai Muda dan terus ke Kuala Muda Seberang Prai Utara. Sepanjang menyusur kehilir Sungai Muda dari Pematang Bendahari, kelihatan projek tabatan banjir sedang rancak berjalan. Projek tebatan banjir ini merubah sama sekali pemandangan dan scenario di kedua kedua belah tebing sungai tersebut. Selama ini walaupun kerap melalui kawasan ini tidak berapa perasan ada sungai mengalir selari dengan jalan kerana ia dilindungi oleh pokok kayu dan pokok nipah.
Pegerakkan jentera berat termasuk excavator, jentolak, jengkaut, piling, lori pengangkut pasir dan berbagai jenis kenderaan lain menjadi tebing sungai sebagai satu medan pembangunan. Aku sesekali berfikir adalah aktiviti ini akan menjejaskan ekosistem, flora dan fauna kawasan terbabit. Apapun aku jangkakan kerosakkan amat minimal jika dibanding dengan projek mega yang lain. Apabila siap nanti semuanya akan kembali seperti biasa dengan perbezaan dari segi muka bumi sahaja.
Kuala Muda juga mengalami proses pembangunan yang agak pesat dan ketara. Balai bomba dan balai polis baru tersergam indah menjadi mercu tanda penting pekan kecil di muara sungai ini. Tetapi rumah kediaman dan rumah kedai disini masih yang asal, yang diperbuat dari papan beratap zink. Seperfti di pekan lain, kebanyakkan penduduk pekan ini adalah kaum Tionghua manakala orang Melayu menjadi penghuni di pinggir pekan.
Ketika aku sampai jam baru menunjukkan 09.00 pagi. Nelayan masih belum pulang dari laut, mungkin satu jam lagi. Kawasan pasar jualan ikan atau pasar bisik masih lengang, manakala kedai makan yang terletak bersebelahan dipenuhi oleh warga mas yang menghabiskan masa berbual dengan rakan sambil menjamu selera.
Aku dipelawa minum oleh salah dari mereka walaupun tidak mengenalinya. Aku mengucapkan terima kasih dan menolak pelawan tersebut. Kenyang lagi. Masih ada nilai nilai budaya ini, malangnya hanya pada orang orang tua. Sayang sekali hanya segelintir orang muda sekarang dapat meneruskan budaya seperti itu.
Air laut tengah surut dan gigi air jauh di tengah laut. Terdapat dua tiga orang sedang berjalan di pantai, mungkin untuk mencari rezeki mengutip siput laut. Beberapa orang lelaki tua sedang rancak berbual di bawah sebatang pohon rendang di tepi laut. Nyaman dan tenteram suasana disini. Pekan disini seolah olah masih tidur dan penduduk akan bangun dalam tempuh satu jam lagi apabila nelayan pulang dari laut.
Bagaimanakah agaknya dengan rezeki nelayan tersebut hari. Harga semua jenis ikan sangat mahal di pasar pasar. Musim monsoon timur laut ini kurang ikan. Banyak ikan yang dijual tidak berapa segar.
Aku berpatah balik melalui jalan sama tetapi apabila sampai di Pematang Bendahari aku mengambil jalan ke arah Bumbung Lima dan akan pulang mengikuit jalan utama Butterworth - Alor Setar. Angin timur yang sedang membadai kadang kadang laju membuat kayuhan menjadi sukar.

Statistik
   Mula ............. 8.10 pagi
   Tamat ........... 11.00 tengah harir
   Jarak ............. 55 km
   Cuaca ............ redup
   Laluan .......... Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Kuala Muda
   Odometer 2012 : 00238
   
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan