Halaman

Isnin, 19 Mac 2012

Kayuhan ke Hat Yai ...

Lepas solat subuh doa lebih sikit supaya selamat mengharungi kayuhan di negara jiran Thailand. Harap tiada perkara buruk dan tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan ini, juga tiada sebarang kerosakkan pada mesin roda dua yang dipanggil basikal. Kalau terjadi memang susah juga dibuatnya maklumlah tempat orang.
Walaupun beberapa kali telah membuat kayuhan di Betong, ini adalah pertama kali mencuba kayuhan ke Hat Yai. Kawasan ini lebih sibuk dan banyak pekan yang akan dilalui. Lagipun Bandar Hat Yai amat luas dengan puluhan jalan jalan berbanding dengan Betong. Boleh sesat dibuatnya.
Bertolak dari rumah sebaik selesai kewajiban, memangya semua barang keperluan termasuk basikal telah ada dalam kereta. Semuanya telah disiapkan malam tadi. Walau begitu aku buat pemeriksaan sekali lagi. Tidak mahu ada apa yang tertinggal.
Cuaca memang baik dan tiada tanda akan hujan. Alhamdullillah. Sepanjang pemanduaan di lebuhraya PLUS menuju keutara pada jam 7.00 pagi, semuanya lancar. Aku memandu perlahan sahaja kurang dari speed limit. Kerana terlalu seronok aku boleh terlepas kedai pengurup wang di Pekan Changlon dan terpaksa membuat U - turn hampir 1 km. Pengurup wang ini terletak didalam restoren cina dan menawarkan tukaran yang paling lumayan berbanding dengan yang lain. Hanya pengurup wang di Pekan Padang Besa (sebelah Thailand) yang dapat menandingi.
Exchange rate pagi ini agak tinggi. Belian 10 Baht bersamaan RM1.00. Lama dah dapat tukaran sebegini. Rasanya aku beli 2,000 Baht cukup untuk dua hari. Di Hat Yai banyak tempat yang menerima matawang Malaysia jika aku kehabisan.
Pegawai imigresen di Bukit Kayu Hitam agak terkejut bila aku menghulurkan pas sempadan. Dia bertanya hendak kemana dengan basikal. Sekali lagi dia menaikkan kening apabila aku kata ke Hat Yai dan bertanya seorang sahaja ke. Dia mengucapkan selamat jalan. Aku ditahan oleh polis sempadan yang meminta untuk memeriksa dokumen perjalanan. Orang kedua pagi ini yang terkejut bila aku nyatakan destinasi aku. Rasanya tidak tidak peka jarak Bandar Hat Yai dari Bukit Kayu Hitam kerana dia menyatakan 45 km sedangkan jaraknya hampir 60 km.
Aku konfuse sikit di imegresen Thailand. Aku mengikut lorong motorsikal bukan lorong berjalan kaki. Kena parking basikal bersama motorsikal lain dan kemudian ke kaunter imigresen yang juga digunakan oleh kereta. Apa pun janji aku lepas masuk tanpa sebarang masalah.
dari Danok
Masih tidak ramai orang di pekan Danok kerana masih awal pagi, kedai dan gerai gerai masih belum dibuka. Aku ingin untuk breakfast tetapi menangguhkan hasrat kerana masih belum ada kedai menjual makanan yang aku inginkan. Aku berhasrat untuk sarapan pagi di Sadao yang jaraknya hampir 15 km dari Danok.
Aku perlu makanan pagi yang agak berat untuk tenaga. Dirumah sudah makan semangkuk oat segera dan dua keping toast. Agaknya semua hampir habis digunakan semasa memandu hampir 90 minit sebentar tadi. Sebaik melepasi komplek kastam Sadao terdapat beberapa gerai makanan seperti yang banyak terdapat ditempat kita. Semua peniaga adalah wanita muslim dan nasi kerabu dan nasi beriayani nampak menyiorkan. Kena sepinggan dengan seketul ayam gorang dan teh oh untuk 35 Baht.
Sepanjang perjalanan aku asyik memandang dikiri dan kanan lebuhraya No.4. Terdapat ladang getah disepanjang jalan dan  beberapa kilang besar seperti Safeskin dan Top Glove. Lebuhraya tanpa tol menyediakan lorong motorsikal dan basikal yang jauh lebih baik dari tempat kita. Tiada lobang, lopak atau jalan yang rosak. Lorong hampir sama besar dengan lorong kenderaan lain.
Berhenti sekali di Khlong Ngae untuk ketandas. Terlalu seronok berkayuh tidak sedar telah tiba di persimpangan lebuhraya 'Pret Khassim' untuk ke utara (Bangkok) dan selatan (Patanni). Aku terus melintasi persimpangan tersebut untuk ke Hat Yai. Entah kenapa aku berubah fikiran, mungkin aku tiba lebih awal iaitu dua jam setengah untuk jarak 60 km ke Hat Yai. Aku berhenti untuk minum dua bungkus air tebu yang dijual menggunakan 'pickup truk' di hadapan pintu masuk Universiti Prince of Songhkla.
Disini aku mendapat idea untuk meneruskan kayuhan ke Pekan Songhkla. Hanya 30 km dari Hat Yai. Jika aku tidak larat aku akan mencari hotel di Songhkla untuk tinggal semalam. Kalau tidak aku akan berpatah balik ke Bandar Hat Yai.


   Odometer 2012 : 01375

Tiada ulasan:

Catat Ulasan