Halaman

Selasa, 20 Mac 2012

Kayuhan pulang ke Bukit Kayu Hitam

Dari tingkat 6 Hotel Hat Yai Rama
Keluar dan turun dari bilik 614 untuk 'check out' 15 minit sebelum pukul 8.00 pagi. Lobi hotel masih lenggang walau aku terdengar bunyi sudu berlaga pinggan dari restoren hotel tersebut. Silap kerana kebiasaan, aku tidak menukar waktu bila memasuki Thailand. Waktu Thai baru 6.45 pagi.
Porter bertugas pagi bertanyakan dalam bahasa Inggeris adakah basikal ditempat parking kepunyaan aku. Mungkin dia melihat aku berpakaian baju basikal, memegang helmet dan memakai glove. Bertanya dari mana dan mana kawan lain.  Aku pula bertanya samada hotel menyediakan breakfast percuma untuk pelanggan. Kena bayar. Aku memang tahu dah. Aku mengambil sekeping 'city guide' dan menyuruh dia menunjukkan jalan ke pasar terapung.
Ah ... basikal kesayangan masih  tertambat pada paip merah bersaiz 4 inch, mungkin paip bomba. Semua kelihatan ok, tiada yang hilang atau rosak. Sebenarnya basikal berada dalam keadaan paling selamat diletakkan di tempat parking kereta kerana ada orang mengawasi sepanjang malam. Setelah siap aku terus berkayuh keluar kearah jalan yang ditunjukkan oleh pekerja hotel sebentar tadi. Aku akan sarapan pagi di pasar terapung kerana menurut kawan yang pernah kesana, pelbagai jenis makanan dijual dan banyak makanan halal.
Kalau ikut arah yang diberikan, pasar terletak tidak berapa jauh dari hotel, mungkin lima minit berbasikal. Aku tidak jumpa simpang. Kebetulan dihadapan ada dua bas pelancong Malaysia dan pemandu sedang memeriksa bas. Penumpang bas masih belum kelihatan. Aku bertanya kepada pemandu bas arah pasar terapung dan dia menyatakan berada pada arah yang betul. Cuma beberapa ratus meter dihadapan dan belok kekanan.
Perut aku mula merasa kosong dan pasar masih tidak kelihatan. Singgah dikedai muslim yang aku nampak desebelah kiri. Hanya seorang pelanggan sedang makan. Aku minta nescafe (slang Malaysia..) dia tidak faham dan aku terpaksa menunjukkan gambar pada dinding kedai. Oh .. naskaffee ... dan memberi setengah cawan kecil. Memang aku sudah mengagak. Saiz gelas minuman kecil dan tidak diisi penuh. Tetapi dia juga menghulurkan satu teko kecil air panas untuk dicampurkan kedalam nescafe tersebut. Pekena satu pulut udang, 2 bungkus pulut inti dan sekeping apam lenggang berinti dibungkus dengan plastik dengan label halal. Semuanya 30 Baht.
Dia menunjukkan kemesraan, bertanyakan sesuatu dalam bahasa Thai dan menggunakan isyarat tangan. Selepas satu minit dia kecewa dan aku pula rasa bosan, dia meninggalkan meja aku untuk meneruskan kerjanya.
Aku meneruskan misi mencari pasar terapung. Jumpa dua atau tiga pasar pagi lain, kebanyakkan orang memerhatikan aku. Macam sesuatu yang pelik seorang pelancong mengayuh basikal dipasar mereka. Tidak jumpa pasar tersebut tidak mengapa, ada alasan untuk mengulangi kayuhan kesini di masa hadapan.
Tembikai kuning
Selepas setengah jam aku give up dan berkayuh di lain lain tempat di bandar yang luas. Tidak banyak yang dapat aku lihat kerana kebanyakkan tempat dan kedai masih belum memulakan perniagaan. Aku berada dikawasan paling utara dipersimpangan jalan ke Songhkla di utara bandar. Terpaksa bertanya arah kepada seorang penunggang motorsikal dipersimpangan lampu isyarat highway 414. Dia menggelengkan kepala dan menyuruh aku berpatah balik. Jalan paling pantas ke selatan adalah melalui dalam bandar.
Bagai aku alami kelmarin bontot mula terasa pedih kerana terlalu berkayuh. Silap aku juga kerana tidak memakai seluar yang ada 'padding'.
Aku memasuki jalan ke Danok pada jam 10.00 pagi dan menganggarkan akan sampai ke sempadan sebelum jam 1.00 petang. Akan singgah di pekan Sadao untuk makan tengah hari dan membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang di pekan Danok.
Tenaga tambahan ....
Disepanjang jalan aku memerhatikan sekitar seperti yang aku lakukan semasa perjalanan pergi. kagum ada dan kesihan juga ada. Perasaan berbelah bagi. Masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian dan keadaan agak tidak seimbang berbanding dengan kawasan di utara. Berhenti dibeberapa pekan kecil untuk menghilangkan haus dan penat badan.
Sudah beberapa botol air M150 aku minum dan baru perasaan ada logo halal pada labelnya. Harga pun murah iaitu 10 Baht. Rasanya seperti Redbull dan dikhabarkan mempunyai fungsi sama. Minuman Isotonik seperti '100 plus atau Revive' yang kita biasa minum selepas aktiviti berbasikal, tiada dijual disini. Hanya beberapa kedai di Danok menjual dalam kuantiti terhad. Minuman isotonik tersebut dibawa masuk dari Malaysia.
Menuju kearah pasar Sadao sebaik sampai untuk mencari makanan. Tidak banyak kedai menjual nasi campur. Apa yang aku perlukan adalah sup, tulang atau ekor untuk membantu memulihkan selera dan tenaga. Terpaksa berpuas hati dengan makan nasi campur biasa.
baru puas ..
Mungkin kerana letih aku tidak mampu menghabiskan satu pinggan nasi lauk ikan masak tauchu dan sayur tauge. Tidak ada daging bakar, ikan bakar, rendang, kari atau nasi kandar. Makan sahaja apa yang ada. Dalam hati bagai berdendam untuk makan sekali lagi apabila tiba di Danok kerana aku tahu di sana boleh dapat apa yang dihajatkan.
Hanya 13 km atau 30 minit sebelum menamatkan kayuhan. Berehat di gerai pertama aku jumpa yang menjual air nyior. Duduk berehat lama. Penjual mengeloh kerana hari panas melampau. Aku katakan bagus la untuk business menjual air. Aku menolak basikal di celah celah gerai yang rapat dan sempit. Petang ini kebanyakkan gerai lenggang, tiada pembeli kerana pertengahan minggu. Gerai akan sibuk pada hujung minggu. Aku singgah di sebuah kedai makan apabila melihat menu ditulis dengan besar dan jelas dan memesan soup tulang campur perut. Ah ... baru puas. Kos .. hanya 70 Baht.
Keluar dari komplek imigresen pada jam 4.00 petang. Kaunter imigresen di kedua dua negara kosong. Hanya deretan lori yang menunggu pemeriksaan kastam. Berehat selepas memasukkan basikal dan barangan lain kedalam kereta sebelum bertolak balik.
Jumlah jarak kayuhan untuk dua hari di Thailand adalah 230 km. Mungkin ini satu permulaan untuk kayuhan jauh termasuk ke Phuket. Tunggu dan lihat.

Selamat pulang .....

Statistik
  Mula ............... 8.00 pagi
  Tamat ............. 12.30 tengah hari
  Jarak .............. 85 km
  Cuaca ............. redup kemudian panas terik
  Laluan ............ Ronda di Bandar Hat Yai - Sadao - Danok
  Odometer 2012 : 01458

Tiada ulasan:

Catat Ulasan