Halaman

Isnin, 5 Mac 2012

Kota Sarang Semut


Kenapa aku letakkan gambar sepasang mat salleh mengayuh basikal untuk blog aku pagi ini. Gambar ini aku 'snap' di jalan Alor Setar - Sungai Petani semasa kayuhan pagi ini. Kagum. Satu perkataan yang  dapat menerangkan segalanya. Kayuhan pagi ini membawa aku ke arah utara. Memang tiada niat untuk sampai ke Bandar Alor Star. Aku hanya meletakkan target untuk berkayuh selama dua jam dan berpatah balik. Kalau tiada apa halangan aku akan sampai semula kerumah sebelum makan tengah hari.
Semasa aku menghampiri Pekan Kota Sarang Semut, aku melihat sepasang Mat Salleh dari arah bertentangan. Mereka mengayuh kearah selatan mungkin untuk ke Pulau Pinang, seterusnya ke Kuala Lumpur dan Singapura. Mereka dahulu menegur aku dengan hanya anggukkan kepala dan aku pula membalas dengan mengangkat tangan. Aku tidak dapat mengagak kelajuan mereka tetapi berfikir akan dapat menyaingi atau memotong mereka dalam perjalanan balik nanti. Aku ada hampir 10 minit lagi untuk mencukupkan target atau kuota kayuhan dua jam pagi ini.
Aku singgah di sebuah gerai di Kota Sarang Semut untuk sarapan pagi. Aku buat kesilapan kerana tidak mengambil makanan yang memberi atau memulihkan tenaga. Selalunya makan nasi lemak atau roti canai tetapi sarapan hari ini hanya sebiji pau kacang dan milo O sahaja.  Ini memberi kesan semasa kayuhan pulang nanti. Aku ditegur oleh seorang pelanggan digerai tersebut, bertanya soalan biasa yang sering aku dengar ketika singgah dimana mana. Kebetulan dia baru sahaja datang datang ke kawasan taman rumah aku pada bulan Januari lalu kerana menghadiri kenduri anak sepupu perempuannya yang tinggal di lorong 2.
Aku bercadang untuk mengejar dua orang mat salleh yang aku nampak tadi dan ingin mengambil gambar mereka. Tahu, jarak mereka sekarang mungkin 30 minit dari dimana aku berada. Jika mereka berkayuh tanpa henti kemungkinan aku menjumpai mereka semula agak tipis.  Tetapi aku berharap akan dapat berjumpa atau sekurang kurangnya melihat dan mengambil gambar mereka.
Aku berminat kerana satu roda tambahan di belakang yang membolehkan lebih banyak barangan dibawa. Ketika melalui pekan Guar Cempedak aku melihat mereka berehat dan membeli air minuman. Ramai juga orang di kedai tersebut dan aku meneruskan kayuhan ke Pekan Gurun. Aku berhenti untuk menghilang haus dan merehatkan badan. Belum sempat aku menghabiskan satu tin air isotonik 100 plus, mereka lalu dengan agak laju dihadapan kedai dimana aku berehat.
Jalan dari Pekan Gurun hingga ke Perwaja Steel mendaki sedikit hampir jarak 2 km. Aku penuh yakin kelajuan mereka akan perlahan dan akan berpeluang untuk memotong mereka. Aku merasa kecewa kerana kelibat mereka tidak kelihatan walau aku melajukan kayuhan. Aku berputus asa setelah melepasi Pekan Bedong dan Pekan Sungai Lalang. Sungguh bertenaga mereka berdua membuat kayuhan.
Dua mangkuk cendol pulut aku habiskan di hadapan kawasan perindustrian Sungai Petani sebelum simpang ke Tol Plus Sungai Petani Utara. Semasa membayar aku melihat mereka untuk kali ke empat dan dengan segera mencapai kamera kompak dan menghala kepada mereka. Mereka tidak perasan aku mengambil gambar mereka.
Kebelakangan ini ramai mat salleh berkayuh di negera kita. Boleh dikatakan setiap hari ada seorang dua yang nampak melalui jalan dari sempadan menuju ke selatan. Entah negara mana mereka dan sudah berapa lama berada dijalanan.
Aku membuat tekad dan azam untuk mengayuh ke negara jiran dalam masa terdekat. Mungkin dua tiga hari pada peringkat permulaan dan akan melanjutkan kepada lebih lama jika berjalan lancar.

Statistik :
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 12.30 pagi
   Jarak .............. 99 km
   Cuaca ............. panas     
   Laluan ........... Bedong - Gurun - Guar Cempedak - Kota Sarang Semut
   Odometer 2012 : 01118

Tiada ulasan:

Catat Ulasan