Halaman

Isnin, 19 Mac 2012

Songkhla

penat ...
Berehat diluar Hat Yai Municipal Park pada jam 12.30 tengah hari. Tiada selera untuk makan tengah hari. Mungkin terlalu banyak minum, mana tidaknya kena dua plastik air tebu yang baru diperah. Untuk mengisi perut aku beli potongan tembikai, tembikai kuning dan betik. Boleh tahan juga besarnya. Semuanya 50 Baht.
Cuaca agak redup dan aku meneruskan kayuhan ke Songhkla. Pada peringkat awal jalan agak tidak mendatar, bukit tidak tinggi tetapi jauh. Jalan 407 adalah sebahagian dari rangkaian lebuhraya 4 Phet Kasem mempunyai empat lorong tanpa pembahagi jalan. Laluan kedua hala hanya dipisahkan dengan garisan kuning selebar 1 meter. Lorong motorsikal dikedua dua hala agak luas seperti jalan dari Sadao ke Hat Yai. Tiada masalah untuk mengayuh basikal.
Pertengahan jalan kehabisan tenaga dan dahaga. Berhenti disebuah kedai makanan Islam. Senang dicam kerana pekerja wanita memakai tudung dan terdapat lambang bulan bintang pada papan signboard. Disebelah sini pun seperti di Kelantan. Semua peniaga adalah perempuan. 
Mungkin kerana badan letih atau memang makanan nasi campur tidak menyelerakan, aku hanya menghabiskan setengah sahaja. Lauk daging campur rebung, ikan dan gelur goreng rasa hambar. Harga amat berpatutuan iaitu 45 Baht dan sekali lagi kena sebotol kecil air tebu.
Pernah beberapa kali melalui jalan ini dengan kenderaan, tetapi tidak perasan sangat keadaan sekeliling. Aku ingat ingat lupa apa yang ada  dikedua hala laluan ini. Mungkin telah banyak perubahan berlaku, sama juga ditempat kita. Pastinya terdapat banyak perkampungan Melayu Thai dikawasan ini.
Berehat agak lama persimpangan Salburi Road sebelum menuju ke Pantai Samila. Kaki terasa pedih dan terpaksa membuka kasut dan sarong kaki. Bekalan air pun telah habis. Memasuki Kao Saen Road mengingatkan aku pertama kali aku datang ke sini pada tahun 1990 bersama keluarga. Ketika itu aku memandu kereta. Tidak banyak perubahan pada bangunan kedai dan kawasan perumahan. Terdapat banyak kedai kecil kepunyaan Melayu Thai, bezanya kawasan ini bertambah sibuk.
Pantai sepanjang hampir 4 km ini telah banyak berubah dari kali pertama aku datang dahulu. Pokok rhu yang ditanam disepanjang pantai menjadi pelindung dari panas matahari dan juga kepada angin monsoon. Kebersihan pantai memang dipuji dan banyak kemudahan disediakan.
Golden mermaid ...
Aku tercari cari lokasi patung Golden Mermaid kerana jalan pantai tamat berhampiran hotel Sarmila Beach. Disana terdapat banyak gerai makanan dan gerai jualan seperti di pantai pantai lain. Rupanya terpaksa keluar untuk mengikuti jalan lain untuk kesana, tetapi aku terjumpa jalan pintas dibelakang hotel tersebut.
Terdapat ramai pengunjung di pantai walaupun hari bekerja. Mungkin kebanyakkan pelancong luar seperti aku. Beberapa pelancong mat salleh sedang mandi dan berbaring dipantai. Pagel ('gila' dalam bahasa hindi). Panas terik sebegini boleh 'sunbathing'. Aku menunggu suhu sejuk sedikit sebelum memulakan kayuhan pulang ke Hat Yai.
Menggalakkan rakyat membaca
Banyak tempat yang boleh dilawat dan dilihat di pekan Songhkla ini tetapi aku tidak berapa kisah. Sudah berapa kali aku datang melawat disini. Aku menyimpan tenaga untuk kayuhan 30 km pulang ke Hat Yai. Punggung pun mulai terasa pedih kerana lama sangat berkayuh.
Jam 4.30 petang aku memulakan kayuhan ke Hat Yai. Tidak boleh sesat kerana hanya satu jalan keluar dari Songhkla. Rasanya tiga gelas air tebu yang diminum dua tiga jam lalu memberikan tenaga tambahan. Kelajuan kayuhan tidak kurang dari 26 kmj walaupun telah beberapa jam berkayuh. Masalah kecil ialah haus. Berhenti beberapa kali disepanjang jalan untuk membeli minuman.
Singgah di taman rekreasi Hat Yai. Bukan apa .. curiousity. Ingin melihat apa yang ada. Sebuah tasik besar dimana terdapat banyak perahu kayuh dan business boleh katakan bagus. Pada mula aku berfikir tidak ramai orang melakukan aktiviti berbasikal di bandar ini tetapi kemudian kelihatan beberapa orang cyclist di jalan raya.
Hentam saja lah labi. Aku bukan tahu jalan di Bandar Hat Yai tetapi aku mengikut jalan dimana banyak kenderaan. Pastinya ia akan menuju ke tengah bandar. Sedikit bantuan signboard dan papan tanda. Tidak lama kemudian kelihatan mercu tanda dan bangunan tinggi yang biasa. Tahu aku tidak sesat dan berada dikawasan yang biasa dikunjungi.
Terlalu awal untuk mencari hotel. Aku makan malam sebelum mencari hotel dan akan terus berehat dan tidur. Esok banyak lagi tempat yang ingin aku kunjungi. Banyak hotel murah tetapi nampak tidak bekenan ... (fahamkan maksud aku) dan pergi ke Hotel Hat Yai Rama. Pernah menginap disini lima tahun lalu. Murah, bersih dan bilik agak luas. Tiada hanky panky walaupun pekerja lelaki hotel membisikkan jika aku mahu urutan badan. Aku menolak dan mengatakan tidak mahui diganggu. Sebelum jam 9.00 malam aku sudah lena dan terjaga pada jam 3.00 pagi. Sambung tidur sehingga waktu subuh.

Statistik
   Mula ............ 1.00 petang dari Hat Yai
   Tamat .......... 5.00 petang
   Jarak ............ 60 km
   Cuaca ........... panas
   Laluan .......... Hat Yai - Songkhla - Hat Yai
   Odometer 2012 : 01373
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan