Halaman

Ahad, 25 Mac 2012

menjadi tunggak ....

Pagi ini aku ke tempat kerja lama yang sudah aku tinggalkan lima tahun lalu sejak tahun 2007. Sekali sekala aku singgah di sini jika berada disekitar atau lalu kawasan ini untuk berjumpa memperbaharui dan memanjangkan siratulrahim dengan bekas pekerja yang kini menjadi kawan kawan biasa. Mendapat undangan dari salah seorang pegawai Loji Pembersihan Air Pelubang, Wang Tepus, Jitra.
Loji pembersihan air tersebut mengadakan hari terbuka sempena dengan 'Hari Air Sedunia' yang jatuh pada 24 Mac setiap tahun. Semasa aku masih bekerja dulu, boleh dikatakan setiap tahun hari terbuka diadakan disemua loji dibawah operasi, kendalian dan senggaraan syarikat. Tujuan loji terbuka diadakan adalah untuk memberi peluang kepada orang awam membuat lawatan ke loji untuk melihat sendiri proses rawatan air. Proses termasuk megepam air dari sungai, bahan kimia yang digunakan, pengetalan, pembauran, penapisan, pembasmian kuman dan mengepam kepada pengguna. 
Hari terbuka kali ini diadakan dan dianjurkan bersama dengan SADA, Syarikat Air Darul Aman dan dikira yang terbesar yang pernah diadakan. Disamping melawat proses dan rawatan air, pengunjung berpeluang menjalankan pemeriksaan kesihatan, menderma darah, mengemukakan sebarang masalah berkaitan dengan bekalan air, melihat peralatan yang digunakan dan melihat pamiran yang disediakan oleh pihak pembekal. Disamping itu banyak juga khemah yang menyediakan perkhidmatan yang tidak bersangkutan dengan bekalan air. Jamuan makan tengah hari disediakan dan minuman disediakan sepanjang masa.
Tetamu ke hormat majlis hari terbuka loji ini ialah Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah. Turut hadir beberapa EXCO kerajaan Negeri Kedah, Pengarah SADA dan Pengarah Air Utara Indah. Kehadiran pengunjung adalah diluar jangkaan.  
Peluang aku berjumpa dan bermesra dengan bekas kakitangan yang sama bertugas dahulu, juga dengan bekas kakitangan pihak JBA Kedah (kini SADA). Peluang ini jarang berlaku iaitu berjumpa dengan begitu ramai kenalan pada masa dan tempat yang sama. Seperti juga kita berjumpa dengan sanak saudara dan sahabat handai ditempat kenduri kahwin.
Rata rata kebanyakkan mereka terkejut dengan penampilan aku. Mereka berkata susuk badan aku kelihatan lebih kurus dan sihat dari dahulu. Ramai yang bertanyakan bagaimana aku melakukan. Macam iklan Adibah Noor dalam 'ketupat Faeza' lah pula. Kena ulang cerita macam 'rewind tape'. Inilah kelebihan berbasikal dan melakukan aktiviti senaman dengan kerap.
Aku bertanyakan kepada rakan yang sama berkayuh pada sebelah petang dan hujung minggu semasa bekerja dahulu. Seorang darinya, Mr. Ng Seng Keat, berkata dia kini sudah lama meninggalkan aktiviti ini. Dia meninggalkan aktiviti bila aku meninggalkan tempat tersebut. Bila ditanya mengapa, dia bekata tiada kawan dan tiada orang yang mengajak berkayuh. Ketiadaan aku seolah menjadi penyebab terhentinya aktiviti berbasikal dikalangan mereka.

dari fail 2007 ...
Bagaimana perasaan aku bila diberitahu begitu. Rasa terharu dan terasa amat dihargai. Memang aku yang memberi galakan dan mendesak supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal. Aku menjadi tempat rujukan basikal yang bagaimana perlu dibeli. Sebelum pulang apabila tamat waktu kerja, mereka akan bertanyakan dimana laluan kayuhan petang nanti atau pada hujung minggu nanti. Apakah program kayuhan terdekat dan siapa yang akan turut serta. Kami juga pernah bersama mengikuti jamboree berbasikal termasuk di Puteri Hill Park di Sungai Petani dan mengelilingi Pulau Langkawi.
Dahulu kami sering berkayuh bersama di bukit dimana tangki air loji terletak, termasuk Bukit Mengkuang dan Bukit Tinggi, sering meyusur laluan kampung dan hutan, berkayuh ditebing sungai dan bendang. Beramai ramai ke kawasan rekreasi Bukit Wang dan yang paling seronok berkayuh di jalan berbukit yang agak tinggi ke Pokok Sena. Tidak kurang seronok kayuhan didalam Gua Kelam Perlis ke Wang Klian di sempadan Thailand.
Sayang .... kini mereka tidak lagi meneruskan ktiviti berbasikal seperti dahulu. Kalau adakan pun hanya kayuhan di kawasan kediaman. Aku menasihati mereka untuk tidak meninggalkan terus aktiviti ini kerana telah banyak bukti dapat dilihat. Selain menyehatkan badan ia memberikan ikatan persahabatan dengan rakan rakan lain yang sukar dilupakan.
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan